Kemboja larang buat liputan di ‘zon merah’

PHNOM PENH, 4 MEI – Kemboja hari ini mengarahkan semua wartawan untuk berhenti daripada membuat liputan di ‘zon merah’ COVID-19 dan mengejar ambulans ketika negara itu berjuang menangani peningkatan rekod jangkitan koronavirus.

Negara ini telah menyaksikan peningkatan dalam penularan kes sejak Februari, ketika wabak pertama kali dikesan di kalangan masyarakat ekspatriat China.

Pegawai mengumumkan hari ini sebanyak 938 kes jangkitan baharu dicatatkan, menjadikan jumlah kes kepada 16,299 dengan 107 kematian.

Pihak berkuasa telah menjadikan sekolah dan dewan majlis perkahwinan sebagai pusat rawatan ketika hampir semua katil di hospital dipenuhi pesakit dan Perdana Menteri Hun Sen memberi amaran bahawa negara itu berada ‘di ambang kematian’ akibat wabak tersebut.

Phnom Penh dan bandar bersebelahan Ta Khmau telah dikenakan perintah berkurung selama 20 hari dan kerajaan telah mengumumkan perintah berkurung tersebut akan berakhir mulai Khamis.

Tetapi pihak berkuasa mengatakan kawasan dengan kadar jangkitan tertinggi akan terus dikenakan perintah berkurung.

Polis telah membuat beberapa sekatan di sekitar zon merah yang melarang penduduk meninggalkan kediaman mereka, kecuali atas sebab perubatan.

Kementerian maklumat juga kelmarin memerintahkan wartawan untuk segera berhenti membuat liputan berita di zon merah, memberi amaran bahawa mereka akan berdepan dengan pendakwaan. – AFP

Ambulans dilihat membawa pesakit COVID-19 ke hospital di PhnomPenh pada 3 Mei. – AFP