KEMBOJA, 4 OKT – Tiga pemenang anugerah Right Livelihood untuk tahun ini tidak dibenarkan ke Stockholm untuk menghadiri majlis penganugerahan itu, menurut penganjur, lapor agensi berita Jerman.
Pada minggu lalu, kumpulan aktivis alam sekitar Kemboja Mother Nature diumumkan sebagai pemenang anugerah itu yang juga dikenali sebagai Hadiah Nobel Alternatif.
Bagaimanapun, mahkamah di Kemboja memutuskan tiga wakil kumpulan itu Phoun Keo Raksmey, Thon Ratha dan Long Kunthea tidak dibenarkan ke Sweden, kata Yayasan Right Livelihood.
Yayasan itu kemudian mengemukakan permohoanan untuk semakan keputusan.
“Right Livelihood bersolidariti dengan Mother Nature Kemboja dan usaha berterusan mereka untuk melindungi alam sekitar demi untuk generasi sekarang dan akan datang,” kata yayasan itu dalam satu kenyataan.
Agensi berita Sweden,TT, berkata ketiga-tiga aktivis itu kesemuanya telah dijatuhi hukuman penjara yang ditangguhkan kerana aktiviti mereka melindungi sumber asli dan alam sekitar Kemboja.
Menurut laporan itu, mereka disabitkan dengan kesalahan menghasut pada 2021 dan dilarang ke luar negara tanpa kebenaran mahkamah. – Bernama
