Kemboja mula vaksin golongan remaja

PHNOM PENH, 1 OGOS – Kemboja mula melaksanakan pemberian vaksin COVID-19 kepada golongan remaja di bandar Phnom Penh dan tiga wilayah lain hari ini, dengan cucu Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen adalah antara penerima terawal.

Beberapa negara Asia Tenggara sedang berdepan lonjakan semula kes COVID-19 akibat varian Delta yang amat mudah berjangkit, yang menggugat kejayaan rantau itu mengawal pandemik berkenaan tahun lalu.

Walaupun Kemboja dilihat berjaya mengatasi virus itu tahun lalu, penularan semula yang pertama kali dikesan pada Februari lalu terus meningkat kepada hampir 78,000.

Hari ini, kerajaan itu mula memberikan vaksin kepada kanak-kanak dan remaja yang berusia antara 12 hingga 17 tahun, bermula di Phnom Penh dan disusuli wilayah yang teruk terkesan iaitu Kandal, Koh Kong dan Preah Sihanouk.

Pemimpin Kemboja menyifatkan vaksinasi untuk kanak-kanak yang bermula hari ini sebagai langkah penting untuk mewujudkan imuniti kelompok dalam masyarakat.

Golongan remaja menunggu untuk menerima vaksin Sinovac di pusat kesihatan di Phnom Penh pada 1 Ogos. – AFP

“Kanak-kanak adalah ibarat pucuk rebung. Jika kesihatan kanak-kanak terjejas sekarang, kita tidak akan memiliki buluh yang baik,” katanya.

Terdahulu, Hun Sen memantau doktor memberikan suntikan vaksin COVID-19 keluaran syarikat farmaseutikal China, Sinovac, kepada cucunya.

Hun Sen berkata, sejumlah dua juta remaja dijangka menerima vaksin COVID-19 dan negara itu turut mempertimbangkan untuk memberikan suntikan itu kepada kanak-kanak berusia 10 dan 11 tahun.

Beberapa negara Eropah seperti Denmark, Perancis dan Lithuania, sudah memulakan pemberian vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak bagi mempercepatkan pembentukan imuniti kelompok.

Kempen vaksinasi COVID-19 besar-besaran di Kemboja menyaksikan lebih tujuh daripada 10 juta penduduk sudah menerima suntikan vaksin AstraZeneca dihasilkan United Kingdom, Johnson & Johnson yang didermakan AS atau Sinovac dan Sinopharm buatan China.

Hun Sen berkata, pihak berkuasa negara itu juga akan mula memberikan suntikan penggalak kepada golongan dewasa yang sudah menerima suntikan dos lengkap vaksin tidak lama lagi, selain mencontohi Thailand dengan menggunakan campuran vaksin berbeza.

Berdasarkan dasar baharu itu, Perdana Menteri Kemboja itu yang sudah menerima dua dos vaksin AstraZeneca, mahu mendapatkan vaksin Sinovac untuk suntikan dos penggalak. – AFP