SIEM REAP, 17 SEPT – Kuil-kuil purba Angkor Wat yang terkenal di Kemboja menjadi tuan rumah kepada perarakan Rolls-Royces, Ferrari dan Lamborghini hari ini, walaupun pemandu dilarang meligatkan enjin supercharged mereka.
Acara berkenaan bertujuan untuk mempromosikan tapak Warisan Dunia UNESCO yang sensitif terhadap alam sekitar, di mana runtuhan monumen terbesar empayar Khmer dikelilingi oleh hutan rimbun dan pokok-pokok gergasi.
Pelancongan adalah penting bagi negara Asia Tenggara itu dan menerima kira-kira 6.6 juta pelawat setahun sebelum pandemik COVID-19, apabila jumlahnya menurun kepada kurang 200,000 pada tahun 2021.
Jumlah pelawat kembali meningkat kepada hampir 5.5 juta tahun lepas, menjana lebih AS$3 bilion dalam pendapatan, tetapi masih di bawah paras pra-pandemik.
Ditanya mengenai sifat acara yang kelihatan tidak sesuai, menteri pelancongan Kemboja, Sok Soken memberitahu AFP bahawa garis panduan ketat telah dikenakan, dengan larangan meligat enjin ‘sebagai tanda hormat kepada warisan kita di sini’.
Beliau bercakap beberapa meter dari Bugatti Chiron, antara model yang dilaporkan berharga lebih AS$3 juta.
“Pameran kereta adalah seni teknologi, aplikasi teknologi dan cara perjalanan moden,” katanya sambil menambah bahawa Kemboja ‘menyambut baik semua jenis pengembara’. – AFP