SIEM REAP, 16 NOV – Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet hari ini merasmikan lapangan terbang baharu negara itu yang dibiayai oleh China bernilai berbilion dolar berhampiran kompleks kuil Angkor Wat, sambil berkata ia akan meningkatkan sektor pelancongan yang penting.
Phnom Penh menjadi salah satu sekutu serantau terkuat Beijing di bawah bekas pemerintahan Hun Sen, dengan negara Asia Tenggara itu menerima jumlah pelaburan China yang besar.
Hun Manet, yang menggantikan bapanya, Hun Sen pada Ogos, memuji Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap Angkor sebagai ‘moden’ ketika beliau memotong reben untuk membukanya secara rasmi.
Beliau berkata ia adalah fasiliti udara Kemboja pertama yang dibangunkan di bawah projek pelaburan global Belt and Road Beijing, dan hab bernilai AS$1.1 bilion itu akan merangsang pelancongan.
“Ini merupakan satu lagi peristiwa bersejarah baharu bagi sektor pengangkutan udara Kemboja,” katanya.
“Tugas kami adalah untuk menjadikan lapangan terbang ini berfungsi,” katanya, ‘dan untuk menjadikan lapangan terbang ini meningkatkan taraf hidup rakyat, untuk mendorong ekonomi Kemboja’.
Gabenor wilayah Yunnan di China, Wang Yubo turut hadir pada majlis perasmian lapangan terbang itu, yang memulakan operasi komersialnya bulan lalu dan akhirnya akan mengendalikan sehingga 12 juta penumpang setiap tahun mulai 2040.
Lapangan terbang baharu itu, dengan landasan sepanjang 3,600 meter, terletak kira-kira 40 kilometer dari taman kuil Angkor yang terkenal di Kemboja di Siem Reap, destinasi pelancongan utama negara itu. – AFP
