Friday, April 19, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    Kemelesetan ekonomi punca Jalan Hamra hilang tarikan

    BEIRUT – Dari kedai muzik kecilnya di Jalan Hamra, Beirut, Michel Eid menyaksikan kebangkitan dan kejatuhan Lubnan yang berubah daripada sebuah jalan berhias terkenal selama lebih 60 tahun.

    Jalan Hamra melambangkan segala-galanya yang penuh daya tarikan tentang Beirut pada tahun 1960-an dan 1970-an, dengan pawagam dan teater terkemuka Lubnan, kafe yang sering dikunjungi oleh golongan intelektual dan artis, serta kedai mewah. Ia menyaksikan kebangkitan jalan itu sedekad yang lalu, dengan rangkaian kedai antarabangsa dan bar serta restoran yang mewah.

    Tetapi sekarang banyak kedai di jalan tersebut ditutup. Kemiskinan melanda Lubnan dan pelarian dari Syria mengemis di kaki lima. Sampah bertimbun di sudutnya. Seperti seluruh Lubnan, kejatuhan ekonomi melanda seperti ribut kuat membawa kemusnahan.

    Pada usia 88 tahun, Eid mengenang masa-masa buruk, semasa perang saudara Lubnan 1975-1990, Hamra menyaksikan pertempuran, pembunuhan di kafe dan, pada satu ketika, tentera penjajah Israel berarak di jalan. Tiada yang seteruk sekarang, kata Eid.

    “Kami telah mencapai titik terburuk,” katanya. Beberapa pelanggan datang ke Kedai Muzik Tosca dan Bekalan Elektroniknya, yang menjual rekod dan pelbagai jam elektronik, kalkulator dan jam tangan.

    Kemelesetan ekonomi Lubnan adalah kemuncak era pasca perang negara itu. Sejak itu, pemimpin militia menjadi pemimpin politik dan memegang kuasa. Mereka menjalan-kan ekonomi yang ada kalanya berkembang pesat tetapi semakin dipenuhi dengan rasuah dan salah urus.

    Seorang lelaki berjalan melewati projektor filem lama yang diletakkan di luar sebuah teater di jalan komersil Hamra di Beirut. – AP
    Michel Eid bekerja di kedai muziknya, di jalan Hamra, di Beirut, Lubnan. – AP

    Kedai yang kelihatan telah ditutup dan lama ditinggalkan di Jalan Hamra. – AP

    Ini telah mengakibatkan keruntuhan, bermula pada Oktober 2019, dalam apa yang disebut oleh Bank Dunia sebagai salah satu krisis ekonomi dan kewangan terburuk di dunia sejak pertengahan 1800-an.

    Nilai mata wang merosot, nilai gaji kehilangan kuasa beli, dolar dalam bank menjadi tidak dapat diakses, dan harga melonjak naik. Sebanyak 82 peratus penduduk kini hidup dalam kemiskinan, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

    Berjalan melalui Jalan Hamra melihatkan kesannya.

    Banyak kedai telah ditutup kerana pemilik tidak lagi mampu membayar sewa yang tinggi dan bil bulanan yang besar untuk penjana elektrik swasta. Selepas waktu malam tiba, kedai-kedai yang masih beroperasi tutup awal. Banyak lampu jalan tidak berfungsi kerana bekalan elektrik terputus. Suatu ketika larut malam Hamra berasa sepi sebelum menjelang tengah malam.

    Semasa zaman kegemilangannya pada tahun 1960-an dan 1970-an, Jalan Hamra adalah nadi elegan era pra-perang kosmopolitan Lubnan, Champs Elysees di Beirut. Pelancong Arab, Eropah dan Amerika Syarikat berpusu-pusu ke kedai, restoran dan bar.

    Hamra mempunyai rumah filem terbaik di ibu negara. Di Teater Piccadilly, penyanyi Lubnan yang paling disayangi Fayrouz membuat persembahan. Awda mungkin melihat diva antarabangsa Dalida bersiar-siar di jalan sebelum salah satu rancangannya. Bintang dunia mengadakan konsert di Lubnan, termasuk Louis Armstrong dan Paul Anka.

    Terletak di kejiranan barat ibu kota Ras Beirut, Hamra masih lagi tempat di mana penganut Kristian dan Islam hidup berdamai. Kafe-kafenya adalah tempat melepak untuk artis, ahli intelektual dan aktivis politik, terperangkap dalam semangat nasionalis Arab yang berhaluan kiri, sekular, dan pada masa itu.

    “Jalan Hamra ialah jalan antarabangsa,” kata Mohamad Rayes, yang bekerja di jalan itu sejak awal 70-an dan memiliki tiga kedai pakaian dan pakaian dalam di kawasan itu.

    Dia bercakap sambil duduk di sebuah kafe yang pada tahun 1970-an, dipanggil Horse Shoe. Dia menunjuk ke sudut di mana dua penyanyi Arab terhebat pada masa itu, Abdel-Halim Hafez dan Farid el-Atrash, mempunyai tempat duduk biasa, bersama-sama dengan Nizar Qabbani, seorang penyair romantis ikonik dari Syria.

    Perang saudara menamatkan zaman keemasan itu. Pertempuran telah mengakibatkan kerosakan teruk di Jalan Hamra.

    Selepas perang, pusat perdagangan antarabangsa dan membeli-belah Beirut berpindah ke pusat bandar baharu yang telah diubah suai. Tetapi Jalan Hamra menyaksikan perubahan yang ketara pada awal 2000-an, dengan sistem air, kumbahan dan elektrik baharu.

    Itu mendorong kepada kebangkitan semula pada 15 tahun yang lalu. Rangkaian antarabangsa seperti Starbucks dan Nike membuka kedai. Restoran baharu berkembang pesat, termasuk yang dibuka oleh rakyat Syria yang melarikan diri dari perang saudara negara mereka.

    Gelombang baharu itu memadamkan banyak ikon sebelum perang kawasan itu. Kafenya yang terkenal, Modca telah digantikan oleh sebuah bank. Sebuah kedai McDonald’s menggantikan Restoran Faisal dan teater Piccadilly telah ditutup.

    Tetapi jalan itu menarik generasi baharu daripada golongan muda dari semua tempat, membawa semangat progresif Arab Spring 2011. Sekali lagi, jalan itu bising dengan tempat bar. Satu kelab, Metro Medina, menarik perhatian orang muda dengan pertunjukan langsung retro muzik Arab lama dari abad yang lalu. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...