Kemelut politik bayangi Switzerland

NIZHNIY NOVGOROD, 26 Jun – Switzerland berkunjung ke Nizhny Novgorod untuk memperolehi mata bagi menempah slot dalam 16 terbaik dan tidak terlalu memikirkan kemelut politik yang sedang berlaku.

Semua tertumpu kepada perlawanan hebat antara Brazil dan Serbia esok, tetapi pada masa yang sama Switzerland mempunyai peluang untuk mara ke peringkat 16 terbaik dan menghuni kedudukan teratas Kumpulan E.

Pasukan Switzerland akan mara jika memperolehi kemenangan ataupun seri ketika menentang Costa Rica yang sudah tersingkir.

Kemenangan besar akan membawa mereka menjuarai kumpulan dan berkemungkinan besar berdepan Jerman dalam peringkat 16 terbaik.

Dan jika Brazil menumpaskan Serbia, Switzerland akan mara meskipun mereka tewas kepada Costa Rica.

Aksi skuad Switzerland semasa menyertai sesi latihan di Stadium Kaliningrad tempoh hari. – AFP

Namun, Switzerland melalui kempen Piala Dunia dengan mantap selepas mencatat keputusan seri 1-1 dengan Brazil dan menewaskan Serbia.

Kelmarin, tindakan penggantungan dua perlawanan ke atas tiga pemain berpengaruh Switzerland, Xherdan Shaqiri, Granit Xhaka dan Stephan Lichtsteiner telah ditarik balik.

Shaqiri dan Xhaka menjaringkan gol ketika menentang Serbia dan kedua-duanya meraikan gol dengan melakukan simbol ‘double eagle’ yang mewakili bendera Albania.

Lichtsteiner juga dituduh terlibat ketika meraikan gol tersebut.

Sebaliknya, FIFA telah mendenda ketiga-tiga pemain akibat ‘perbuatan yang tidak menunjukkan semangat kesukanan.’

Sementara itu, bagi Costa Rica, Nizhny Novgorod akan menjadi peluang terakhir untuk menebus balik selepas menyaksikan mereka mara ke suku akhir pada 2014.

Namun, pada edisi kali ini, Oscar Ramirez gagal untuk memperolehi mata atau menjaringkan gol. – AFP