Kemenangan Biya dipertikaikan

YAOUNDÉ, 23 Okt – Paul Biya, yang telah memerintah Cameroon dengan kuku besi sejak 1982, menang besar semalam dalam pilihan raya presiden yang kontroversi ketika kerajaan mengetatkan keselamatan di negara itu.

Majlis Perlembagaan, didominasi oleh penyokong-penyokong setia Biya, berkata pemimpin berusia 85 tahun itu menang dengan undian 71.3 peratus pada pilihan raya pada 7 Oktober lalu, namun dicemari dengan dakwaan penipuan, kurang kehadiran pengundi dan keganasan.

Ketua Majlis, Clement Atangana berkata pesaing dari pihak pembangkang, Maurice Kamto, jauh ketinggalan di kedudukan kedua dengan 14.2 peratus undi.

Kamto, calon Movement for the Rebirth of Cameroon (MRC) dengan segera menolak keputusan itu, mempersoalkan kredibiliti dan ketidakadilan majlis.

“Kami sesungguhnya menolak keputusan yang direka-reka ini dan menolak untuk mengesahkan legitimasi ketua negeri,” katanya dalam satu rakaman video, dengan menambah dia akan terus mengaku telah memenangi pilihan raya itu.

Amerika Syarikat (AS) berkata penyelewengan undian mencetuskan keraguan pada kredibiliti kemenangan terbaharu Biya.

“Sementara kami mengalu-alukan peningkatan pada kemampuan Suruhanjaya Pilihan Raya Cameroon pada pilihan raya 2011, terdapat beberapa penyelewengan sebelum, semasa dan selepas pilihan raya 7 Oktober,” menurut kenyataan daripada jurucakap Jabatan Negeri, Heather Nauert.

“Penyelewengan ini mungkin tidak akan menjejaskan keputusan namun mencipta ekspresi bahawa pilihan raya tidak adil dan bebas,” tambahnya. – AFP

Gambar fail yang diambil pada 29 September 2018 menunjukkan Presiden Paul Biya dan diiringi oleh isterinya, Chantal Biya, melambai ke arah penyokongnya semasa ketibaannya di lapangan terbang Maroua. – AFP