MILAN, 1 DIS – Juventus berjaya menundukkan Salernitana 2-0 semalam sekali gus memberikan sedikit kelegaan setelah mengharungi minggu yang mencabar, sementara Atalanta mengejar kedudukan puncak Serie A hasil persembahan menarik Mario Pasalic yang membantu pasukan mencatat kemenangan 4-0 ke atas Venezia.
Paulo Dybala dan Alvaro Morata masing-masing mencetak gol untuk memberikan Juve mata berharga di Stadio Arechi namun kedudukan mereka tidak berubah di tangga ketujuh, tujuh mata di belakang Atalanta yang menghuni tangga keempat.
“Ketika ini kami sangat memerlukan sikap bertanggungjawab. Kami tidak mahu melakukan sesuatu yang luar biasa, kami perlu melakukan perkara biasa namun dengan bijak…hari ini kami telah melakukannya,” kata Giorgio Chiellini kepada DAZN.
Dybala membuka jaringan seawal minit ke-21 selepas hantaran kemas satu-dua dengan Dejan Kulusevski dan gol kedua oleh Morata dicatat semasa perlawanan berbaki 20 minit.- AFP
