ALOR SETAR, 29 Jan – Kemenangan Kedah 3-2 ke atas Sarawak dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman malam tadi adalah hadiah Tahun Baru Cina (TBC) buat Ketua Jurulatih Kedah Tan Cheng Hoe dan Pengurus Pasukan Datuk Jeffery Low, kata tonggak utama pasukan Mohd Syazwan Zainon.
Katanya kesemua pemain sebelum ini sudah sepakat untuk melakukan yang terbaik pada perlawanan tersebut kerana mahu menghadiahkan kemenangan itu buat Tan dan Jeffery bersempena Tahun Baharu Cina hari ini.
Beliau yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut berkata tidak menyangka akan diberi peluang bermain kerana hanya sempat menjalani latihan selama empat hari.
“Dengan keyakinan tinggi jurulatih, rakan sepasukan dan sokongan penyokong saya mencuba yang terbaik, kita pun tahu saingan Liga Super tahun ini agak mencabar.
“Keberangkatan Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’Adzam Shah menyaksikan perlawanan turut menaikkan semangat kami untuk bermain dengan sebaiknya,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu malam tadi.
Dalam aksi malam tadi, Kedah bangkit daripada ketinggalan 1-2 pada separuh masa pertama untuk menang 3-2 ke atas Sarawak menerusi dua jaringan dalam masa satu minit.
Mohd Syazwan bijak mencorakkan permainan walaupun hanya bermain beberapa minit pada separuh masa kedua sehingga muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan Kedah pada minit ke-71.
Sementara itu, Tan mahu skuad bimbingannya mengurangkan ‘kesilapan individu’ dalam perlawanan akan datang bagi memastikan pasukan itu mampu meneruskan momentum kecemerlangan.
“Bagi saya itulah dalam bola sepak selalunya kalau kita buat kesilapan di laman sendiri pihak lawan akan hukum kita tetapi dengan kekuatan mental sekali lagi pemain dapat bangkit dua kali untuk memenangi perlawanan malam ini,” katanya.
Secara keseluruhannya Tan berkata walaupun ketinggalan 1-2 pada separuh masa pertama, namun beliau amat berpuas hati dengan permainan yang ditunjukkan anak buahnya kerana mereka dilihat begitu fokus untuk memenangi perlawanan. – Bernama