KUALA LUMPUR, 25 OGOS – Ketua jurulatih pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC Bojan Hodak menyifatkan kemenangan pasukan itu pada pentas final Zon ASEAN saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) malam tadi, sebagai hadiah kepada rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan.
Beliau berkata selaku kelab kecil dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M), pihaknya tidak menyangka mampu mengorak langkah lebih jauh ke peringkat seterusnya di pentas Piala AFC.
“Kami tidak mempunyai jangkaan yang tinggi…kami hanyalah kelab kecil dan pasukan sentiasa bekerja keras tetapi kami berjaya melalui perlawanan demi perlawanan dan tiada siapa yang menjangkakan kami akan menang ke atas pasukan yang lebih baik.
`Ini ialah hadiah untuk Hari Kebangsaan.
“(Menjuarai) Piala Malaysia tahun lepas ibarat kisah dongeng, AFC kini juga sama.
“Setiap kisah perlu ada penghujungnya jadi kami akan meneruskan impian kami dan berharap pengakhiran yang menggembirakan buat pasukan,” kata ketua jurulatih KL City FC kepada pemberita dalam sidang media malam tadi.
Mengulas lanjut, pengendali dari Croatia itu berkata persembahan dipamerkan anak buahnya dalam masa sama ialah satu perkhabaran baik buat Liga-M.- Bernama