Kemenangan Morbidelli perlu dicontohi

KUALA LUMPUR, 14 SEPT – Kemenangan sulung pelumba pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (Petronas Yamaha SRT), Franco Morbidelli dalam kelas perdana Kejuaraan Motosikal Dunia di Grand Prix (GP) San Marino semalam adalah kejayaan yang sepatutnya buat pelumba itu, kata Prinsipal Pasukan Datuk Razlan Razali.

Menurut beliau, pelumba kelahiran Rom, Itali berusia 25 tahun itu menunjukkan prestasi terbaik dengan bangkit dari kekecewaan setelah terlibat dalam kemalangan di GP Austria, bulan lepas.

“Ini adalah kemenangan yang luar biasa bagi Franco (Morbidelli). Memang patut, terutamanya selepas dia terlibat dalam kemalangan semasa perlumbaan pertama GP Austria,” kata Razlan dalam laman sesawang rasmi pasukan.

Dalam pada itu, Razlan turut memuji rakan sepasukan Morbidelli, Fabio Quartararo yang mempamerkan persembahan yang berani walaupun gagal melengkapkan perlumbaan selepas terjatuh ketika cuba mengejar pelumba lain di hadapan.

“Dia masih berada di tempat kedua dalam kedudukan kejuaraan. Jadi, ia bukanlah suatu yang teruk dan saya yakin dia akan kembali memberi saingan yang hebat minggu depan,” katanya. – Bernama