Kemenangan pengubat duka Siti Saleha

Seraut wajah cukup tenang, namun, tiada siapa tahu ‘gelodak’ yang membenam di jiwa si jelita, Siti Saleha.

Kini, segala-galanya bagaikan debu yang berterbangan. Nikmat rumah tangga hanya dikecapi seketika, namun, ia bukanlah pengakhiran buat sebuah kebahagiaan.

Jauh di sudut hati, wanita kacukan Melayu Inggeris itu mengharapkan panas hingga ke petang, namun, siapa sangka hujan di tengah hari.

Nyata, di sebalik senyuman manis terukir, namun berlubuk sengsara di sanubarinya, lalu mengejutkan ramai apabila hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor bagi sebutan kes perceraian pada 13 Oktober lalu.

Berita perceraian Siti Saleha, 31, dan suami, Ahmad Lutfi Azhar, 35, selepas empat tahun melayari bahtera rumah tangga cukup mengejutkan ramai, apatah lagi, mereka dikenali sebagai pasangan bahagia.

Hati Siti Saleha terubat apabila menggenggam trofi Pelakon TV Wanita Popular buat kali ketiga. – Agensi

Ketika ini, timbul pelbagai persepsi termasuklah Siti Saleha dan Ahmad Lutfi didakwa sudah tidak tinggal sebumbung, selain dikatakan wujud ‘orang ketiga’ menjadi punca keretakan rumah tangga. Namun, aktres yang dinobatkan Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-34, minggu lalu, terus mengunci mulut biarpun dihambat seribu persoalan.

Sambil merenung jauh, pemilik nama Siti Saleha Mohd Baharum itu mengakui, “Saya reda atas takdir yang tertulis.

“Jujurnya, tiada pasangan yang berkahwin untuk bercerai. Saya juga tidak menjangka ini boleh berlaku dalam kehidupan rumah tangga, tetapi ia tetap berlaku.

“Siapa saya untuk menolak takdir yang tertulis? Apa pilihan yang saya ada, selain reda dan bangkit perlahan-lahan demi memperjuangkan hidup.

“Ketika ini, segala-galanya masih tergantung apabila sebutan kes perceraian masih berjalan. Saya juga masih memegang status ‘isteri orang’,” katanya kepada media.

Aktres yang melonjak populariti menerusi drama Nora Elena, Jika Masih Ada Rindu dan 7 Hari Mencintaiku itu menganggap kemenangan ABPBH 34 bagaikan satu rahmat besar.

“Ia menjadi penyelamat untuk saya terus mempertahankan prinsip tidak berkongsi soal peribadi. Umpama ditutup pintu soal peribadi, dibuka pula dengan kisah kemenangan ini.

“Saya tahu ramai rakan wartawan ingin tahu punca dan apa yang berlaku pada rumah tangga saya. Mohon maaf, saya bukan berniat menyusahkan atau berteka-teki.

“Namun, jawapan saya tetap sama. Sudah takdir, tiada jodoh antara kami, selebihnya biarlah menjadi rahsia yang terpendam. Saya menghormati tugas wartawan, namun, saya tidak mahu berterusan membicarakan soal ini, cukuplah…

“Bukan mahu berlagak baik, tetapi biarlah ia kekal menjadi rahsia tanpa perkongsian secara mendalam. Lagipun, saya enggan membuka aib sesiapapun,” katanya.

Wanita kelahiran Basildon, England itu berkata, hatinya sedikit terubat apabila menggenggam trofi Pelakon TV Wanita Popular buat kali ketiga.

“Ketika berada pada tahap paling bawah, namun, Allah hadirkan kemenangan ini sebagai pengubat duka.

“Saya bersyukur terus mendapat sokongan peminat dan kelab peminat, Team Siti Saleha yang amat disayangi,” katanya yang begitu anggun persalinan merah jambu rekaan Alia Bastamam pada malam kemuncak ABPBH 34. – Agensi