Tuesday, October 8, 2024
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kemenangan pertama Big Sam

    BOURNEMOUTH, 1 Feb – Sam Allardyce akhirnya berjaya mendapat kemenangan pertamanya sebagai pengurus Crystal Palace apabila pasukannya menewaskan Bournemouth 2-0 awal pagi tadi.

    Palace hanya mengumpulkan satu mata daripada lima perlawanan sejak bekas pengurus England, Allardyce menggantikan Alan Pardew pada bulan Disember lalu.

    Kemarau kemenangan itu telah menyebabkan Palace berada di zon penyingkiran, tetapi pasukan selatan London itu merangsang usaha kebangkitan mereka hasil jaringan-jaringan di separuh masa kedua oleh Scott Dann dan Christian Benteke di Dean Court.

    Palace kekal di zon penyingkiran, tetapi kemenangan penting itu mengekalkan mereka dua mata di belakang pasukan keempat tercorot, Swansea, yang juga meraih kemenangan hari ini.

    Allardyce telah memberikan Patrick van Aanholt penampilan pertamanya selepas menandatangani pemain itu dari Sunderland, sementara pemain sayap Wilfried Zaha kembali dalam kesebelasan utama selepas tugasnya berakhir bersama Ivory Coast dalam Piala Negara-Negara Afrika.

    Penyerang Crystal Palace, Christian Benteke (kanan) meraikan gol kedua pasukannya dalam aksi Liga Perdana menentang AFC Bournemouth di Stadium Vitality. – AP
    Penyerang Crystal Palace, Christian Benteke (kanan) meraikan gol kedua pasukannya dalam aksi Liga Perdana menentang AFC Bournemouth di Stadium Vitality. – AP

    Beberapa gerakan kaki telah menyaksikan Zaha menembusi pertahanan Bournemouth sebelum rembatannya terkena gawang di awal perlawanan.

    Palace menguasai perlawanan di sebahagian besar separuh masa pertama namun gagal menemui jaringan.

    Mereka terpaksa menunggu 55 saat selepas rehat bagi jaringan pertama.

    Sepakan sudut Yohan Cabaye telah ditumbuk oleh Artur Boruc, tetapi bola terjatuh kepada Van Aanholt, yang dengan pantas membuat hantaran kepada Jason Pucheon untuk membuat hantaran lintang ke dalam petak.

    Damien Delaney menanduk bola ke arah Dann, yang menghasilkan jaringan pertamanya sejak September.

    Bournemouth menambah tekanan selepas gol itu namun sebaliknya mereka pula dibolosi gol di masa kecederaan, meskipun telah mencipta banyak peluang,.

    Andros Townsend membuat hantaran lintang kepada Benteke yang tidak dikawal, di mana Benteke dengan mudah menanduk masuk dari jarak dekat. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda