Kemenangan PSG dibayangi kecederaan Cavani

PARIS, 10 Feb – Pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel mengakui dia mungkin terpaksa beralih arah kepada ‘pelan D’ bagi menghadapi aksi Liga Juara-Juara menentang Manchester United selepas penyerangnya, Edison Cavani ditimpa kecederaan.

Cavani kelihatan cedera di bahagian kaki ketika mengambil penalti hanya tiga minit sebelum rehat separuh masa untuk menghadiahkan PSG kemenangan 1-0 ke atas Bordeaux di Parc des Princes dalam saingan Ligue 1. Ulang tayang televisyen menunjukkan bintang Uruguay itu kesakitan dan meminta untuk ditukarkan.

Dia kemudiannya meninggalkan padang dan digantikan oleh Kylian Mbappe selepas bersambung babak kedua.

Kehilangan Cavani, yang juga penjaring terbanyak PSG dengan 22 gol musim ini, merupakan tamparan hebat kepada gergasi Perancis itu menjelang aksi 16 teratas Liga Juara-Juara, Rabu ini.

“Saya tidak pasti sama ada dia boleh beraksi. Dia keluar selepas mengambil penalti. Ia mungkin berpunca daripada masalah kecederaan otot,” kata Tuchel.

Cavani mengawal bola ketika beraksi untuk PSG menentang Bordeaux di Parc des Princes, Paris. – AFP

“Kita akan lihat nanti untuk memastikan apa sebenarnya yang berlaku dan melakukan banyak ujian.”

PSG sudahpun terpaksa melupakan Neymar untuk aksi berdepan United, dengan penyerang Brazil itu hanya dijangka pulih sepenuhnya daripada kecederaan metatarsal awal April ini.

Dia berada di tempat duduk penonton ketika bertemu Bordeaux pagi tadi, yang turut menyaksikan kepulangan semula Marco Verratti yang sebelum ini direhatkan tiga minggu akibat kecederaan lutut.

“Ia agak pahit untuk diterima. Mereka ini adalah pemain yang mempunyai kualiti beraksi dalam perlawanan penting. Tidak semua orang boleh beraksi di pentas tertinggi seperti Liga Juara-Juara.

“Kami mempunyai pelan B. Tanpa Neymar, mungkin tanpa Marco, dan mungkin tanpa Edi (Cavani). Kami mungkin menggunakan pelan D.

“Kami perlu menganalisa permainan Manchester United, dan kekal tenang dan yakin,” kata Tuchel kepada Canal+. – AFP