SHAH ALAM, 13 FEB – Pemain perseorangan lelaki utama Malaysia, Lee Zii Jia tidak mahu lagi berputih mata di tangan Juara Dunia, Loh Kean Yew apabila memulakan kempen Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 menentang Singapura, Rabu ini.
Susulan kejayaan Kean Yew memenangi dua perjumpaan terakhir mereka dalam empat pertembungan keseluruhan, Zii Jia mahu menggunakan perlawanan di Pusat Konvensyen Setia City kali ini, sebagai medan kebangkitannya.
Selepas mengharungi musim tidak konsisten sepanjang 2021, juara bertahan All England berusia 23 tahun itu berharap kemenangan ke atas Kean Yew turut dapat meningkatkan keyakinannya untuk musim yang lebih baik selepas keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) baru-baru ini.
“Sudah tentu saya mahu membalas dendam, dia pun lawan untuk pertahankan kemenangan. Jadi saya rasa kita dua-dua pun tidak mahu kalah kali ini. Pada perlawanan sebelum ini, saya cedera, tetapi sejujurnya, dia main bagus hari itu, kalau tidak cedera pun, saya pun tidak berapa yakin boleh menang.
Sekarang nampak dia punya permainan lebih mantap dan semakin matang. Kemenangan ke atas beliau amat penting untuk tingkat keyakinan,” kata pemain ranking ketujuh dunia itu kepada pemberita selepas latihan rasmi pertama pasukan di sini, hari ini.
Mengikut rekod pertemuan, Zii Jia menewaskan Kean Yew pada Cabaran Antarabangsa Smiling Fish 2016 dan Terbuka Fuzhou China 2019, namun gagal mengatasi lawannya sejak zaman remaja pada Terbuka Perancis 2021 dan final Terbuka Hylo 2021 di Jerman, apabila terpaksa menarik diri akibat kecederaan.
Mengulas lanjut, Zii Jia berkata skuad Malaysia tidak boleh memandang rendah cabaran Jepun dan India walaupun mereka tidak menghantar pasukan terkuat, sambil menuntut rakan sepasukan memberikan sepenuh fokus dalam mencapai kedudukan empat teratas bagi mengesahkan tempat ke Piala Thomas di Bangkok, Mei depan.
Ditanya mengenai pemain termuda dalam pasukan, Jacky Kok Jing Hong yang bakal membuat penampilan sulung dalam kejohanan berpasukan, Zii Jia berharap pemain berusia 20 tahun itu mampu belajar sesuatu dan menimba pengalaman pada kejohanan ini. – Bernama