Kemenangan Viviani dibatalkan

ORBETELLO, 14 Mei – Elia Viviani dari Itali telah dinafikan kemenangan di laman sendiri apabila penunggang dari Team Deceuninck itu dilucutkan kemenangannya pada peringkat ketiga Giro d’Italia kerana menghalang seorang pesaing pada pecutan terakhir.

Penunggang UAE Team Emirates, Fernando Gaviria dari Colombia telah dianugerahkan kemenangan itu, dengan penganjur perlumbaan melucutkan Viviani, 30, selepas melihat video ulang tayang.

Gaviria diisytiharkan pemenang peringkat tersebut dengan Arnaud Demare dari Groupama-FDJ menjadi pemenang kedua dan tempat ketiga disandang oleh Pascal Ackermann dari Bora-Hansgrohe.

Ia merupakan kemenangan kelima Giro buat Gaviria, 24, yang telah memenangi empat peringkat semasa kali terakhir dia menyertainya pada tahun 2017.

Tetapi dia menegaskan bahawa, sesiapa sahaja yang melintasi garisan itu adalah pemenang.

“Dia (Viviani) adalah pemenang, saya di tempat kedua, itu yang sebenarnya. Saya minta maaf Elia, saya lebih rela menang dengan cara yang berbeza.”

Viviani, yang menamatkan di tempat kedua pada perlumbaan peringkat pada Ahad, hanya menjadi pemenang selama beberapa minit dan mencetuskan kekecewaan dalam kalangan peminat tuan rumah. – AFP

Elia Viviani (kanan) ketika meraikan kemenangannya pada peringkat ketiga Giro d’Itali. Penganjur perlumbaan kemudian membatalkan kemenangannya selepas menghalang penunggang lain. – AFP