Oleh Pg Fairol RMF, Hajah Saemah Kepli & Normazlina M.D
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mei – Untuk membantu mereka yang memerlukan terutamanya pesakit-pesakit, Kementerian Kesihatan telah mengadakan lawatan ke rumah-rumah pesakit yang kurang berkemampuan bagi menyampaikan sumbangan di keempat-empat daerah.
Pada tahun ini, seramai 17 orang pesakit dan keluarga yang berdaftar di bawah Bahagian Kebajikan Perubatan telah dikenal pasti bagi tujuan lawatan berkenaan yang dibahagikan kepada empat kumpulan.
Di Daerah Brunei dan Muara, rombongan Kementerian Kesihatan diketuai oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr Haji Mohammad Isham bin Jaafar.
Yang Berhormat Dato mengulas kepada media bahawa kegiatan kebajikan berkenaan adalah sebagai kegiatan tahunan kementeriannya yang bertujuan untuk menolong dan meringankan beban pesakit-pesakit yang kurang berkeupayaan dari segi sosioekonomi terutama menjaga atau merawat ahli keluarga yang sakit.
“Dengan adanya tabung dana khas untuk pesakit ini dapat membantu untuk membeli barangan asasi dan lainnya bagi membantu pesakit-pesakit yang kurang berkeupayaan,” tambahnya.



Manakala itu, di Daerah Belait, rombongan diketuai oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman; Daerah Tutong diketuai oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) Kementerian Kesihatan, Dr Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif dan di Daerah Temburong diketuai oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Awang Maswadi bin Haji Mohsin.
Turut serta dalam lawatan amal berkenaan ialah ketua-ketua jabatan Kementerian Kesihatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai perubatan, jururawat dan kakitangan hospital serta ahli-ahli persatuan kesihatan, Persatuan Perubatan Brunei, Persatuan Saintis-saintis Makmal Perubahan Brunei Darussalam (BAMLS), Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam, Kelab Wanita Antarabangsa Brunei dan Persatuan Siswazah Wanita.
Sumbangan yang disampaikan berupa barang keperluan asas dan peralatan perubatan.
Aktiviti lawatan tersebut merupakan salah satu aktiviti kebajikan tahunan yang diungkayahkan oleh Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Kebajikan Perubatan bagi menyerahkan sumbangan terkumpul Tabung Bantuan Amal Pesakit Bahagian Kebajikan Perubatan yang diperolehi daripada sumbangan ikhlas warga Kementerian Kesihatan Pusat Tingkatan Enam Meragang, persatuan-persatuan, pihak swasta dan orang-orang persendirian.
Bahagian Kebajikan Perubatan adalah antara bahagian yang memainkan peranan penting membantu pesakit-pesakit yang kurang berkemampuan dari segi sosio-ekonomi mereka.
Dalam pada itu, keprihatinan serta sumbangan yang dihulurkan itu diharap sedikit sebanyak akan dapat membantu meringankan beban mereka yang memerlukan di samping dapat memberikan dorongan dan galakan kepada orang ramai, persatuan-persatuan dan pihak swasta untuk sama-sama membantu mereka yang memerlukan.
Salah seorang penerima di Daerah Brunei dan Muara, Dayang Nuru Aisah binti Haji Munap, ibu kepada Awangku Mohd Ammar Zhafran bin Pengiran Mahmud yang mengalami penyakit kronik paru-paru, menyampaikan rasa bersyukur dan berterima kasih atas sumbangan barangan keperluan harian dan peralatan perubatan yang menurutnya dapat membantu penjagaan anak beliau.
Ketika ini beliau bersama suami, Pengiran Mahmud bin Pengiran Bungsu menjaga anak beliau berumur 11 bulan itu secara bergilir memandangkan penjagaannya dijalankan secara rapi selain komitmen pekerjaan harian.






Seorang lagi penerima, Awang Muhammad Abdullah @ Pangabang, 80, yang mengalami penyakit barah paru-paru selama lapan bulan turut menyampaikan penghargaan kepada pihak kementerian atas pelbagai sumbangan yang diberikan.
Dalam pada itu, anaknya, Dayang Norsaadah pula berkata bahawa keluarga mereka yang mempunyai 11 cucu dan lima cicit turut meminta bantuan dari segi tempat tinggal. Menurutnya, rumah sewa mereka kini kecil untuk menampung seramai 20 penghuni.
“Kami juga meminta bantuan tempat tinggal daripada pihak tertentu tetapi sehingga kini belum ada jawapan lagi, jadi kami berharap pihak tertentu akan dapat membantu kami untuk berpindah ke tempat yang lebih selesa memandangkan kami tidak mampu untuk membayar rumah sewa tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, salah seorang penerima di Daerah Tutong ialah Dayang Enny Kartini binti Masail, 34, yang mengalami masalah kurang darah yang teruk.
Menurut ibu tunggal yang tidak bekerja itu, penyakit yang dihadapinya itu menyebabkan kehidupannya tersepit dengan masalah kewangan terutama menyara lima orang anaknya.
Katanya, beliau pernah bekerja di salah sebuah kedai membeli-belah, namun disebabkan sakitnya, beliau tidak dapat bertahan bekerja selama beberapa jam.
Lebih memilukan, salah seorang anaknya, Dayang Nur Nabilah juga mengalami penyakit ‘Muntah Darah’.
Atas desakan penyakit yang dihadapi dan masalah kenderaan, beliau berhenti bekerja dan hanya mengharapkan bantuan daripada orang ramai.
Sementara itu, Dayang Enny juga menjelaskan bahawa anaknya juga sukar pergi ke sekolah disebabkan tiada kenderaan dan kadang-kadang mengharapkan bantuan jiran atau orang yang mengenalinya untuk menghantar anaknya ke sekolah.
Sementara itu, antara yang dilawati rombongan di Daerah Belait ialah Awang Mohd
Khalid Ali bin Abdullah @ Tan Kin, 49, yang merupakan pesakit kanser; Dayang Zuraidah binti Abdullah Atai, 38, pesakit diabetes;, Awang Ibrahim bin Tengah, 64, juga pesakit diabetes dan Awang Yurry Santono bin Julaini yang merupakan pesakit epilepsi.