Kementerian Kesihatan berusaha dapatkan vaksin

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Dalam beberapa hari ini, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan vaksinasi 10,000 orang dalam sehari.

“Melihat sambutan orang ramai yang mendapatkan vaksin cukup menggalakkan itu, pihak kementerian akan terus berusaha untuk mendapatkan vaksin,” ujar Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media, hari ini.

Beliau turut mengongsikan yang pada masa ini kementerian terus berusaha untuk mendapatkan vaksin terutama untuk meneruskan program vaksinasi ini.

“Kita berasa yakin dan pada masa ini pihak kementerian masih lagi berurusan dengan pihak tertentu untuk memastikan bekalan akan tidak terputus panjang,” jelasnya.

Yang Berhormat Dato seterusnya menerangkan yang vaksinasi akan tetap diutamakan terhadap warga emas, orang kelainan upaya dan wanita mengandung dan vaksin untuk golongan tersebut adalah mencukupi.

Dengan adanya vaksin Moderna yang baharu ini, negara mampu mencapai sasaran 50 peratus penduduk untuk suntikan dos kedua dan untuk bulan seterusnya. Beliau turut menyuarakan jumlah vaksin memang mencukupi, hanya masalah yang dihadapi adalah akses untuk mendapatkan vaksin kerana bukan Brunei saja yang menghadapi masalah ini malah negara lain juga menghadapi masalah yang sama.