Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MAC – Kementerian Kesihatan menafikan mengeluarkan beberapa mesej mengenai permohonan derma berupa barangan dan kutipan derma bagi keperluan para pesakit COVID-19 dan kakitangan barisan hadapan (frontliners) bagi pihak
Kementerian Kesihatan yang tular dalam aplikasi WhatsApp.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, Kementerian Kesihatan menyatakan lanjut bahawa keprihatinan orang ramai dan dukungan penuh ke atas kakitangan barisan hadapan serta pesakit-pesakit adalah sangat dialu-alukan, walau bagaimanapun, perkara itu sangat mudah untuk disalah gunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan untuk menghentikan penularan mesej-mesej berkenaan dari mana-mana platform media sosial. Dalam pada itu, orang ramai bolehlah menghubungi Kementerian Kesihatan secara rasmi melalui Talian Nasihat Kesihatan 148 (HAL 148) bagi sebarang pertanyaan yang berhubung kait dengan tatacara pemberian sumbangan dan dukungan yang betul dalam menangani jangkitan COVID-19.
Dalam kesempatan itu juga, Kementerian Kesihatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan derma dan tenaga yang telah dihulurkan oleh agensi-agensi, syarikat dalam dan luar negara, kedutaan-kedutaan, pertubuhan bukan kerajaan dan orang ramai kepada Kementerian Kesihatan serta berharap kerjasama bagi membantu kementerian dalam menangani jangkitan COVID-19 di negara ini akan terus diberikan.