Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kementerian Kesihatan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Sejumlah $82,000 dan pelbagai sumbangan lain telah diterima oleh Kementerian Kesihatan dalam sama-sama menangani dan membendung penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini, Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin telah menerima sumbangan cek bernilai $10,000 daripada keluarga Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar bin Mohd Salleh dan Datin Hajah Zainab binti Abu Bakar; cek bernilai $10,000 daripada Persatuan Kesatuan Zhong Zin Hakka dan William Ngui Poh Fook; cek bernilai $12,000 daripada Brunei-China One Belt One Road Association; cek bernilai $50,000 daripada Persatuan Fu Zhou Shiyyi dan 320 kotak pelitup muka daripada Asterix United (B) Sdn Bhd.
Sementara itu, kenyataan menyatakan bahawa beberapa sumbangan juga telah diterima pada 28 Ogos lalu, daripada KBH GOLFERS yang menyumbangkan katil dan tilam, Tradetech Sdn Bhd yang menyumbangkan mesin cetak dan toner serta S.G.B yang menyumbangkan biskut dan minuman.
Kementerian Kesihatan menyatakan bahawa orang ramai yang ingin membuat sebarang sumbangan boleh berhubung terus dengan Pusat Operasi Kecemasan Kementerian Kesihatan (MOHEOC) melalui talian 7295712 pada waktu bekerja sahaja.