Kementerian Kesihatan terima sumbangan tangani COVID-19

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JULAI – Usaha Kementerian Kesihatan dalam menangani penularan wabak COVID-19 terus mendapat sokongan daripada pelbagai sektor termasuk sektor swasta apabila menerima sumbangan berupa peralatan perlindungan diri yang dianggarkan bernilai sekitar $110,000, hari ini.

Sumbangan diterima daripada Brunei Industrial Investment Holdings Co. Limited (BIIH), sebuah syarikat usaha sama antara Kementerian Kewangan dan Ekonomi melalui Dana Modal Pembangunan Strategik (Dana SDC) dan Precious Fresh International Holdings Limited.

Sumbangan itu dibuat melalui Lianfeng Investment Sdn Bhd iaitu anak syarikat BIIH yang mengendalikan kilang pemprosesan makanan laut termasuk udang biru rostris.

Majlis penyerahan sumbangan yang berlangsung di Kementerian Kewangan dan Ekonomi itu menyaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah menyampaikan sumbangan kepada Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengarah Syarikat BIIH dan Lianfeng, Eyan Ou.

Pada majlis itu, kedua-dua Yang Berhormat Dato turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan berterima kasih kepada Syarikat BIIH dan Lianfeng atas sumbangan mereka itu.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menyampaikan sumbangan kepada Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham. Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengarah Syarikat BIIH dan Lianfeng, Eyan Ou. – Gambar oleh Muiz Matdani