Kementerian Kesihatan terus dapat sokongan

Oleh Sim Y. H., Salawati Haji Yahya, Yusrin Junaidi & Nurdiyanah R.
Gambar serahan Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Sumbangan terus disalurkan dalam sama-sama memainkan peranan, dan memberikan sokongan kepada kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan bagi membendung dan menangani penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, menyatakan bahawa enam penyumbang yang terdiri daripada syarikat swasta dan penyumbang peribadi telah menghulurkan sumbangan pada 6 dan 8 November lalu.

Penderma-penderma berkenaan ialah SC Tubular Solutions Sdn Bhd yang menyumbangkan penghawa dingin, mesin pengering, peti sejuk, tong air kosong, pencuci pakaian, cecair pencuci dan tong sampah; Jennsi menyumbangkan pelitup muka, pelindung muka dan sarung tangan; St Andrew Church menyumbangkan air purifier; Cindy Liew menyumbangkan pelindung muka; Hazirah Aziz menyumbangkan pelindung muka yang boleh dicuci manakala itu, One Stephen Sdn Bhd menyumbangkan beras wangi dan mi segera.

Sementara itu, Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) telah menyerahkan sumbangan untuk petugas barisan hadapan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).

Sumbangan disampaikan oleh Setiausaha Agung MKM, Awang Bolhassan bin Haji Abu Bakar kepada petugas barisan hadapan, hari ini.

SC Tubular Solutions menyumbangkan pelbagai barangan.
Pertugas barisan hadapan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha menerima sumbangan orang ramai melalui Dana MKM. – Gambar serahan MKM
St Andrew Church menyumbangkan air purifier.
Pengiran Haji Mohd Yusni menyampaikan sumbangan baju T daripada Riza Printing kepada Awang Mohd Ronnie.
Pengiran Mahari menyampaikan sumbangan PERBEKAL kepada Hajah Ismawati. – Gambar serahan PERBEKAL
Hazirah Aziz menyumbangkan pelitup muka yang boleh dicuci semula.

Antara barangan yang disumbangkan termasuk apron, cecair pembasmi kuman, pelitup muka, pelindung muka dan seumpamanya yang mana pembelian barangan dan peralatan tersebut adalah hasil sumbangan orang ramai ke dana MKM.

Sementara itu, Yang Dipertua MKM, Awang Mohd Yusof Shaik bin Abdul Halim melahirkan rasa syukur di mana setakat ini MKM telah membelanjakan sekitar $100,000 hasil sumbangan orang ramai untuk menyediakan keperluan petugas barisan hadapan negara.

Beliau mengucapkan terima kasih, sambil menambah sumbangan segera masih diperlukan untuk menampung penyediaan barang-barang yang masih lagi diperlukan.

Persatuan Belia Kampung Lambak (PERBEKAL) pula telah menyerahkan hasil kutipan Tabung Bantuan PERBEKAL kepada COVID Holding Area Mahad (CHAM), Tutong, kelmarin.

Sumbangan telah disampaikan oleh Naib Yang Dipertua 2 PERBEKAL, Pengiran Mahari bin Pengiran Haji Metahir bersama Timbalan Pengerusi Biro Wanita PERBEKAL, Dayang Roseyatimah binti Haji Suhaily; Setiausaha Agung, Hajah Halimah binti Haji Metussin serta

Bendahari Agung, Dayang Norain binti Haji Yusof dan Dayang Ariah binti Haji Manan.
Menerima sumbangan berkenaan ialah pegawai kanan di CHAM, Hajah Ismawati binti Haji Ismail.

Manakala itu, Riza Printing menyumbangkan baju T Frontliners kepada para petugas Sukarelawan Belia COVID-19 bagi bahagian Pusat Pengagihan Catuan Makanan di Kompleks Sukan Tutong, baru-baru ini.

Sumbangan sebanyak 63 pasang baju di bawah Projek Amal Zee’Az itu telah disampaikan oleh Pengiran Haji Mohd Yusni bin Pengiran Haji Daud selaku wakil Riza Printing kepada Ketua Bahagian Bantuan Home-Quarantined Individuals (HQI), Awang Mohd Ronnie bin Abdullah Labau.