Kementerian Kesihatan terus terima pelbagai sumbangan

Olah Ak Zaki Kasharan

Gambar serahan Kem. Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 APRIL – Kementerian Kesihatan hari ini terus menerima sumbangan daripada pelbagai pihak sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam membantu kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam khususnya Kementerian Kesihatan dalam sama-sama menangani dan membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Hadir bagi menerima sumbangan-sumbangan berkenaan hari ini ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman; Pemangku Pengarah Pentadbiran dan Kewangan di Kementerian Kesihatan, Dayang Sufinah binti Haji Serudin; dan Pengarah Teknologi Penjagaan Kesihatan di Kementerian Kesihatan, Pengiran Hajah Saadiah binti Pengiran Muda Haji Hashim.

Antara sumbangan yang dihulurkan pada majlis yang diadakan di Kementerian Kesihatan hari ini ialah 2,000 keping face shield yang disumbangkan oleh AKK Design & Sparks Co Sdn Bhd dan My Favoureat Kopitiam yang disampaikan oleh Dayang Nurul Adibah binti Hamdani yang mewakili AKK Design & Sparks Co Sdn Bhd manakala Dayang Nurul Zafirah binti Roslan mewakili My Favoureat Kopitiam.

Manakala, VHC Company telah menyumbangkan 120 helai basic flatlock hijab V Sports dan 15 helai Exclusive hijab V Sports yang disampaikan oleh pengasas bersamanya, Jenny Juvena binti Azmi.

Sementara itu Pengarah Urusan ASTAL Engineering Sdn Bhd, V Arul bagi mewakili syarikat berkenaan menyerahkan cek berjumlah $5,000.

ATAS & BAWAH :Haji Abdul Manap ketika menerima sumbangan daripada AKK Design & Sparks Co Sdn Bhd dan My Favoureat Kopitiam.

Pengiran Hajah Saadiah ketika menerima sumbangan daripada Znet Technologies.
Dayang Sufinah ketika menerima sumbangan daripada VHC Company.

Arzwanina Sdn Bhd juga pula menyumbangkan cek berjumlah $5,000 yang disampaikan oleh Pengarahnya, Mohamed Nazurudeen Jabarsadiq.

Manakala Rezqan Wasian Sdn Bhd pula telah menyumbangkan sebanyak 2,000 keping surgical masks yang diserahkan oleh Pengarahnya, Chen Khen Siong.

Sementara itu, The Institution of Engineering and Technology (IET) Brunei Network menghulurkan empat set rak kasut yang disampaikan oleh Pengerusinya, Haji Jailani bin Haji Buntar.

Selain itu, sumbangan berupa 10 unit komputer jenama Acer dengan monitor 24 inci telah disumbangkan oleh Znet Technologies yang diserahkan oleh Lim Soon Bee.

Manakala Mangkuk Emas Trading Sdn Bhd telah menyumbangkan sebanyak 1,500 keping topeng muka N95 yang disampaikan oleh Pengurusnya, Chia Sit Chung.