Kementerian Kesihatan terus terima pelbagai sumbangan

Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar serahan Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 APRIL – Sumbangan terus dihulurkan kepada Kementerian Kesihatan dalam sama-sama membantu menangani dan membendung penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Pada hari ini, sejumlah $7,020.20 dan 12,500 penutup mulut dan hidung serta 814 helai scrubs telah diserahkan pada majlis penyampaian sumbangan yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan.

Hadir mewakili Kementerian Kesihatan bagi menerima sumbangan berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Tingkat 1, Haji Abdul Khalid As’ari bin Haji Azahari selaku pemangku ketua pegawai eksekutif tingkat khas.

Majlis menyaksikan Le Voeu Events Company menyumbang sebanyak 7,500 penutup mulut dan hidung bagi Kementerian Kesihatan dan 5,000 keping lagi bagi Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan yang telah disampaikan oleh Jade Liew.

Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) pula telah menghulurkan cek berjumlah $5,000 yang disampaikan oleh Yang Di-Pertua PPNBD, Haji Matusin bin Orang Kaya Sura Haji Tuba; Naib Yang Di-Pertua, Pengiran Abdul Wahab bin Pengiran Hassan; Setiausaha Agung, Haji Abdul Malik bin Haji Mohammad dan Ketua Pesuruhjaya, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali.

Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) pula menghulurkan cek berjumlah $2,020.20 yang diserahkan oleh Setiausaha Agung, Haji Abdul Alim bin Haji Awang Othman.

Manakala itu, sejumlah 814 helai scrubs pula disumbangkan oleh Yuni-Ku Auto Sdn Bhd, The Potato Habit, Syarikat Perniagaan Malar Setia, Perusahaan Ala Haji Bolhassan, Jigsaw Primary School, Amann Shipping & Trading Co, Zhou Yi Trading, Jigsaw Play School, dan daripada pihak persendirian yang mana kesemua sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Pengarah Jualan Syarikat Aewon Brunei, Eric Lim Chee Fui.

Sumbangan berkenaan adalah sebagai tanggungjawab sosial korporat pihak penderma dalam membantu pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam khususnya Kementerian Kesihatan dalam sama-sama menangani dan membendung penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Haji Abdul Khalid As’ari ketika menerima sumbangan daripada Aewon.
Haji Abdul Khalid As’ari ketika menerima sumbangan daripada PGGMB.