Kementerian kesihatan terus terima sumbangan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 APRIL – Pelbagai pihak terus tampil menghulurkan sumbangan dalam sama-sama membantu pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam khususnya Kementerian Kesihatan bagi sama-sama menangani dan membendung penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Hari ini, sumbangan cek berjumlah $75,000, pelbagai peralatan perubatan dan barangan keperluan lain telah disumbangkan daripada pelbagai pihak pada majlis yang diadakan secara berasingan di Kementerian Kesihatan (MOH).

Hadir menerima sumbangan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar berupa cek bernilai $12,000 daripada Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar yang disampaikan oleh Raes Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yussof dan seterusnya sumbangan cek bernilai $50,000 daripada Brunei Methanol Company Sdn Bhd yang disampaikan oleh Pegawai Eksekutif M, Jesus Enrique Mora Marin.

Manakala itu, 673 Cycling Community & Friends menyumbangkan sebanyak 150,000 pasang sarung tangan nitril yang disampaikan oleh Adrian Tan Vui Shung dan Philip Chieng. Selain itu, 673 Cycling Community & Friends turut menaja sebanyak 25 unit katil hospital yang dijangka tiba di negara ini pada awal bulan depan.

Guardian Brunei pula telah menyumbangkan 10,000 unit topeng perubatan yang disampaikan oleh Ketua Perniagaan Guardian, Jennifer Yang.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham ketika menerima sumbangan daripada Brunei Methanol Company Sdn Bhd.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham ketika menerima sumbangan daripada Guardian.
Hajah Siti Ajar ketika menerima sumbangan daripada UNN. – Gambar serahan UNN

Guardian Brunei dalam kenyataannya turut mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan platform membeli-belah dalam talian bagi menyahut saranan Kementerian Kesihatan mengenai penjarakan sosial di mana orang ramai dapat mengakses keseluruhan barangan belian termasuk barangan Guardian yang boleh didapati di negara jiran, Malaysia.

Pada majlis berasingan di Bilik VIP, Tingkat Bawah Kementerian Kesihatan, hadir bagi menerima sumbangan ialah Pemangku Pengarah Dasar dan Perancangan, Hajah Siti Ajar binti Haji Yusop daripada Borneo Air-conditioning & Engineering Sdn Bhd telah menyerahkan sumbangan berupa DX Split Units Air conditioner Equipment bernilai $30,000 yang disampaikan oleh Pengarahnya, Abdul Khallaaq bin Haji Muhammad Kasim.

Seterusnya Unified National Networks Sdn Bhd (UNN) pula telah menyumbangkan bekalan peralatan perubatan bernilai $20,844 yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Steffen Oehler.

Manakala Master Solutions Sdn Bhd, Nurul HR Sdn Bhd, Seri Nova Food Industries Sdn Bhd dan De Image Beauty Salon turut menyumbangkan bantuan berupa 200 karton minuman Mr Brown Coffee (24x240ml), 50 karton Indo Pop Mie Ayam (24x60gm), 20 karton Milo 3 in 1, 20 karton Nescafe, dan 500 keping pelindung muka yang telah disampaikan oleh perwakilan-perwakilan syarikat berkenaan Anthony Ng Ui, Haji Thajudeen, Datin Paduka Hajah Salmah binti Haji Hanafiah dan Jessie Lim.

Sementara itu, majlis di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan pula menyaksikan BR Elite Enterprise menyumbangkan 20,000 keping Disposable medical masks serta 516 botol (100ml) dan 432 botol (300ml) Yinba Antibacterial disposal Gel (Hand Sanitiser) yang disampaikan oleh Pengarah Urusannya, Dayangku Hajah Rasidah binti Pengiran Haji Salleh.

BR Trading Company Sdn Bhd pula menyumbangkan sebanyak 20 unit TV LED Narutron 32 inci dan 48 unit Narutron Kettle Electric NEK-16C (304 Stainless Steel) yang diserahkan oleh Pengarah Urusannya, Chin Siong Khun.

Naturally Plus (B) Sdn Bhd pula menyumbangkan 1,500 paket IZUMO-Hydrogenated Water yang disampaikan oleh Pengiran Mohammad Kamal Ariffin bin Pengiran Haji Ismail yang mewakili Pengurus Besarnya, Shinichiro Hatase.

Kesemua sumbangan berkenaan diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tingkat 1, Haji Abdul Khalid As’ari bin Haji Azahari.

Turut menyampaikan sumbangan, hari ini, ialah TCM Delphi Sdn Bhd yang menyumbangkan cek berjumlah $3,000 yang diserahkan oleh para penderma manakala Syarikat Teguh Mesra Sdn Bhd menghulurkan cek berjumlah $5,000 yang disampaikan oleh Pengurus, Summer Toh.

Aewon Garment and Embroidery, Syarikat Aewon Brunei pula menyumbang cek berjumlah $3,000 yang diserahkan oleh Pengarahnya, Lau Chai Seng manakala Aewon – Sherwood Protective Apparel (B) Sdn Bhd menyumbangkan cek berjumlah $2,000 yang disampaikan oleh Pengarahnya, Justin Hong Ping Khiong.

Manakala itu, Kure Borneo Company menyumbangkan 14 karton air minum Kure Oxygen yang disampaikan oleh Pengarah Urusannya, Ferrozzi Majid.

Kesemua sumbangan daripada TCM Delphi Sdn Bhd dan Syarikat Teguh Mesra Sdn Bhd telah diterima oleh Pengarah Teknologi Penjagaan Kesihatan, Pengiran Hajah Saadiah binti Pengiran Muda Haji Hashim, manakala itu, sumbangan daripada Aewon Garment and Embroidery, Aewon – Sherwood Protective Apparel (B) Sdn Bhd dan Kure Borneo Company telah disampaikan kepada Pemangku Pengarah Pentadbiran dan Kewangan, Dayang Sufinah binti Haji Serudin.