Kementerian Kesihatan terus terima sumbangan

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MEI – Kementerian Kesihatan terus menerima sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk syarikat-syarikat swasta dan kumpulan masyarakat pada majlis penyerahan bantuan yang berlangsung di Kementerian Kesihatan pada 23 Mei lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, hadir menerima sumbangan pada majlis yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan itu ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Tingkat Khas, Haji Abdul Khalid As’ari bin Haji Azahari.

Pada majlis berkenaan, sumbangan daripada Christian Community berupa cek berjumlah $53,510 disampaikan oleh Vicar St Andrew’s Church dan wakil Christian Community, Reverend Johnny Chin Ten Yen bersama-sama Senior Pastor of GBBM, Reverend Render bin Luwis dan wakil daripada gereja-gereja lain, Lau Hee Khiong.

Sumbangan daripada Kumpulan Pendorong Penyusuan Susu Ibu (HAWA) berupa cek berjumlah $823 yang disampaikan oleh Pengerusi HAWA, Dr Masmunira binti Haji Ramli dan Interhouse Company menyumbangkan $10,000 yang disampaikan oleh Pengarah Urusan, Vincent Goh dan Pengurus Besar, Steven Goh.

Manakala itu, BruWell Valve & Fitting Sdn Bhd menyumbangkan 100 kotak penutup mulut dan hidung yang disampaikan oleh Pengarah, Haji Hamdan bin Haji Hassan dan sumbangan Thompson Furniture Square Sdn Bhd berupa cek berjumlah $8,000 disampaikan oleh Pengarah Urusan, Joyce TS Chai.

Sumbangan berkenaan adalah sebagai tanggungjawab sosial korporat daripada pihak penderma dalam membantu pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam khususnya Kementerian Kesihatan dalam sama-sama menangani serta membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Haji Abdul Khalid As’ari menerima sumbangan daripada Vincent Goh dan Steven Goh.
Haji Abdul Khalid As’ari menerima sumbangan daripada Reverend Johnny Chin.