Kementerian Kesihatan terus terima sumbangan

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Dalam sama-sama memainkan peranan, memberikan sokongan serta sebagai usaha tanggungjawab sosial korporat, syarikat swasta dan individu terus tampil ke hadapan untuk menghulurkan bantuan kepada kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dalam sama-sama membendung dan menangani penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, menyatakan bahawa Tabung Bantuan COVID-19 2021 menerima sumbangan berjumlah $20,000 daripada Buildcon Concrete Sdn Bhd yang disampaikan kepada Setiausaha Tetap diKementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin.

Turut hadir semasa penyampaian sumbangan berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Ong Tiong Oh.

Kenyataan menyatakan bahawa pada 28 September, Syarikat NJNCC (B) Sdn Bhd telah menyumbangkan peralatan pelindung diri (PPE) yang didatangkan dari Nanjing, Republik Rakyat China melalui Penerbangan Diraja Brunei dari Hong Kong dan tiba di Bandar Seri Begawan pada 17 September lalu.

Antara barangan PPE yang disumbangkan kepada Kementerian Kesihatan adalah pelitup muka pembedahan tiga lapis pakai buang sebanyak 51,000 unit, sarung tangan pakai buang sebanyak 10,000 unit dan pakaian perlindungan sebanyak 1,000 unit.

Sumbangan berkenaan telah diserahkan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan seterusnya diserahkan kepada Kementerian Kesihatan.

Kenyataan turut menyatakan bahawa dua penyumbang yang terdiri daripada syarikat swasta turut menghulurkan sumbangan pada 27 September lalu.

Penderma-penderma berkenaan ialah Progresif Sdn Bhd yang menyumbangkan alat tulis dan snek untuk kanak-kanak serta minuman kotak manakala itu, Shoe Mo Brunei menyumbangkan baucar Shoe-Mo.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan itu, menyarankan orang ramai yang ingin membuat sebarang sumbangan, supaya berhubung terus dengan Pusat Operasi Kecemasan Kementerian Kesihatan (MOHEOC) melalui talian 7295712 pada waktu bekerja sahaja.

Haji Maswadi menerima sumbangan cek daripada Buildcon Concrete Sdn Bhd untuk Tabung Bantuan COVID-19 2021.
Sumbangan daripada Progresif.
Sumbangan baucar daripada Shoe-Mo.