Kementerian Kesihatan terus terima sumbangan

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam khususnya Kementerian Kesihatan terus menerima sumbangan dalam sama-sama membendung dan menangani penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, menyatakan bahawa Makmal Rujukan Virologi Kebangsaan, Jabatan Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan telah menerima sumbangan sistem ujian PCR SARS-CoV-2 daripada Syarikat Kosi (B) Sdn Bhd.

Sumbangan berkenaan telah diserahkan oleh Emily Nin kepada Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin dalam majlis yang berlangsung di Makmal Rujukan Virologi Kebangsaan, Jalan Sumbiling, Bandar Seri Begawan, kelmarin.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengarah Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Surita binti Haji Mohd Taib serta pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Perkhidmatan Makmal dan kakitangan Syarikat Kosi (B) Sdn Bhd.

Sumbangan itu merupakan sistem automated sample extraction bagi memproses sampel swab sebelum ujian PCR. Sistem berkenaan akan meningkatkan kapasiti ujian PCR SARS-CoV-2 di Makmal Rujukan Virologi Kebangsaan bagi menangani peningkatan keperluan ujian semasa pandemik COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Kenyataan turut menyatakan bahawa kementerian berkenaan telah menerima beberapa sumbangan daripada penyumbang-penyumbang yang terdiri daripada penyumbang persendirian dan syarikat swasta pada 17 November lalu.

Penderma-penderma berkenaan ialah Haji Tahir bin Haji Jaafar, Haji Sharif Bahrin bin Haji Tahir dan Dayana Ha yang menyumbangkan pelitup muka, pelindung muka dan sarung tangan serta Progresif Sdn Bhd yang menyumbangkan barangan, snek dan coklat.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan itu lagi, menyatakan bahawa orang ramai yang ingin membuat sebarang sumbangan boleh berhubung terus dengan Pusat Operasi Kecemasan Kementerian Kesihatan (MOHEOC) melalui talian 7295712 pada waktu bekerja sahaja.

Haji Maswadi menerima sumbangan sistem ujian PCR SARS-CoV-2 daripada Kosi (B) Sdn Bhd yang disampaikan oleh Emily Nin.
Sumbangan daripada Progresif Sdn Bhd.