Kementerian kesihatan terus terima sumbangan

Oleh Sim Y. H. & Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar serahan Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 APRIL – Usaha Kementerian Kesihatan yang sedang menangani situasi jangkitan COVID-19 terus mendapat perhatian dan sokongan daripada semua pihak di Negara Brunei Darussalam yang sama-sama tampil ke hadapan untuk menghulurkan sumbangan sebagai tanggungjawab sosial korporat mereka untuk sama-sama menangani wabak berkenaan.

Kelmarin, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong telah menyampaikan sumbangan berupa peralatan perubatan serta peralatan perlindungan diri daripada pelbagai pihak kepada Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada majlis yang diadakan di Kementerian Kesihatan kelmarin.

Barangan dan keperluan yang disalurkan adalah bagi kegunaan pesakit dan petugas perubatan yang mana sumbangan berkenaan juga akan dapat menjaga keselamatan dan kesejahteraan petugas yang berada di barisan hadapan iaitu non-medical yang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam beberapa operasi bagi mencegah penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penderma yang terdiri daripada agensi kerajaan dan beberapa syarikat korporat dari Republik Rakyat China atas sumbangan ikhlas bagi sama-sama membantu langkah-langkah pencegahan penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Antara sumbangan yang diberikan ialah 30,000 topeng muka yang disumbangkan oleh Foreign Affairs Office of Nanjing Municipal People’s Government yang telah disampaikan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar menyampaikan sumbangan daripada Nanjing Municipal People’s Government, Nanjing Chemical Construction Co Ltd dan NJNCC (B) Sdn Bhd kepada Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham.
Awang Mohd Shahrin (tengah) menerima sumbangan yang disampaikan oleh China State Construction Engineering Corp Ltd.
Awang Mohd Shahrin (kiri) menerima sumbangan yang disampaikan oleh Haji Hadanan (kanan).
Awang Mohd Shahrin menerima sumbangan yang disampaikan oleh Mohammad Ashmeer.
Awang Mohd Shahrin menerima sumbangan yang disampaikan oleh Dayang Nur Faizah.

Manakala itu, Nanjing Chemical Construction Co Ltd dan NJNCC (B) Sdn Bhd pula menyumbangkan 20,000 unit topeng muka dan 10,000 sarung tangan dan 1,000 unit pakaian perlindungan yang disampaikan oleh Lim Hll Tuan.

China State Construction pula menyumbangkan 5,000 unit topeng muka yang di sampaikan oleh Goh Hee Kuang (H.K.Goh) dan 10,000 topeng muka pula disumbangkan oleh China State Construction Engineering Corp Ltd yang disampaikan oleh Shan Tzi Gang.

Secara berasingan, tiga buah syarikat iaitu Zulkader & Company, Pizza Hut Brunei dan Syarikat Seri Ghanimi Contractor Sdn Bhd turut menyampaikan sumbangan masing-masing kepada Kementerian Kesihatan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, hadir untuk menerima sumbangan berkenaan ialah Pemangku Penolong Pengarah Kemajuan Projek, Kementerian Kesihatan, Awang Mohd Shahrin bin Haji Sharbini.

Syarikat Zulkader & Company menyampaikan sumbangan cek berjumlah $5,000 yang disampaikan oleh wakil syarikat, Mohammad Ashmeer, Pizza Hut Brunei menyampaikan sumbangan cek berjumlah $5,000 yang disampaikan oleh Pengurus Pemasaran, Dayang Nur Faizah binti Ja’afar dan Syarikat Seri Ghanimi Contractor Sdn Bhd juga menghulurkan sumbangan cek berjumlah $5,000 yang disampaikan oleh Pengurus, Haji Hadanan bin Haji Yahya.