BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Julai – Sempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-71 tahun ini, Kementerian Kewangan dan jabatan-jabatan di bawahnya, kelmarin telah mengadakan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah dan Doa Selamat di Masjid Ash-Saliheen, Kompleks Bangunan Jabatan Perdana Menteri.
Hadir ke majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim.
Juga hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan (Fiskal), Dato Seri Paduka Haji Hisham bin Haji Mohd Hanifah; Timbalan Menteri Kewangan (Pelaburan), Dato Seri Paduka Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah serta pegawai-pegawai kanan dan warga kementerian berkenaan.
Acara tersebut dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib berjemaah dan Sembahyang Sunat Hajat. Majlis kemudian diikuti dengan bacaan Surah Yasin dan Tahlil serta Doa Kesyukuran yang dibacakan oleh Imam Masjid Ash-Saliheen Awang Mohammad Syariff Wafiuddin bin Jemain.
Acara tersebut diakhiri dengan Sembahyang Fardu Isyak berjemaah.
