Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jun – Kementerian Kewangan dan jabatan-jabatan di bawahnya, petang tadi, telah mengadakan Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran yang berlangsung di Dewan Teater, Kementerian Kewangan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap (Dasar), Awang Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Juga hadir di majlis itu ialah Setiausaha Tetap (Prestasi), Dayang Norliah binti Haji Kula, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan bahagian, para pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan jabatan-jabatan di dalamnya.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang disusuli dengan ucapan alu-aluan Pengerusi majlis iaitu Pemangku Jurukira Agung, Awang Maswadi bin Haji Mohsin.
Majlis kemudian diserikan lagi dengan ceramah khas bertajuk ‘Al-Quran Sebagai Teman’ yang disampaikan oleh penceramah undangan, Daie bertauliah dari Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak.
Beliau dalam ceramahnya juga menyentuh mengenai puasa serta perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa.
Majlis yang diselenggarakan oleh Jabatan Perbendaharaan itu juga diselajurkan dengan penyampaian derma kepada 22 orang anak yatim warga Kementerian Kewangan dan jabatan-jabatan di bawahnya yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.