Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Jan – Haji Muhammad Nazirulariffin bin Haji Muhammad Zaini dan Dayang Amal Afiqah binti Ali muncul johan dalam kategori masing-masing dalam Pertandingan Membaca Ayat-ayat Suci Al-Quran bagi Kementerian Kewangan dan Jabatan-jabatan di bawahnya.
Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim selaku tetamu kehormat menyempurnakan penyampaian hadiah di majlis tersebut petang tadi.
Turut hadir pada majlis tersebut, yang berlangsung di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan, Commonwealth Drive, Jalan Kebangsaan, ialah Timbalan Menteri Kewangan (Fiskal), Dato Seri Paduka Haji Hisham bin Haji Mohd Hanifah, timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Sebelumnya, pertandingan membaca ayat-ayat suci Al-Quran itu telah diadakan pada hari Isnin, 15 Januari lalu yang menyaksikan seramai enam orang qari dan enam orang qariah memperdengarkan bacaan mereka.
Dalam Kategori Qari, Haji Muhammad Nazirulariffin dari Kementerian Kewangan memperoleh markah 84 peratus, manakala naib johan jatuh kepada Awang Haji Mohd Basren bin Haji Bintang dari Agensi Pelaburan Brunei (BIA) dengan memperoleh 83 peratus. Manakala Haji Abdul Razak bin Haji Mohd Hassan juga dari BIA dengan perolehan markah sebanyak 79 peratus tampil di tempat ketiga.
Sementara itu dalam Kategori Qariah, Dayang Amal Afiqah dari Kementerian Kewangan memperolehi markah sebanyak 70 peratus, sementara itu Dayang Farah Dibba binti Abu Kassim dari Tabung Amanah Pekerja (TAP) pula menyandang tempat kedua dengan markah 66 peratus. Manakala di tempat ketiga jatuh kepada perwakilan dari Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) iaitu Dayang Khairul Bariah binti Ahmad dengan mendapat 57 peratus.
Majlis pada petang tadi turut diserikan oleh bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang dipersembahkan oleh johan qari pertandingan tersebut.
Majlis seumpama ini merupakan aktiviti tahunan yang kendalikan oleh Kementerian Kewangan dan jabatan-jabatan di bawahnya bagi menggalakkan pembacaan ayat-ayat suci Al-Quran disamping untuk mengetengahkan bakat-bakat dalam kalangan pegawai dan kakitangannya.
Tahun ini majlis telah diungkayahkan oleh BIA.