Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi
TEMBURONG, 16 Mac – Kementerian Kewangan dalam usaha membarigakan mengenai penyelarasan dan perubahan kepada kadar-kadar cukai import dan duti eksais yang berkuat kuasa mulai 1 April ini, telah mengadakan jerayawara ke Daerah Temburong yang berlangsung di Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar, di sini kelmarin.
Setiausaha Tetap (Prestasi), Kementerian Kewangan, Awang Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman semasa berucap pada jerayawara tersebut menjelaskan antara matlamat pindaan kepada kadar cukai import dan cukai eksais ini adalah bagi mengemaskinikan struktur cukai barangan di negara ini yang akan dapat mendukung beberapa objektif utama, antaranya bagi meningkatkan daya saing iklim perniagaan dan pelaburan negara, di samping memenuhi komitmen-komitmen tertentu di bawah perjanjian-perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan beberapa negara sama ada secara dua hala atau berbagai-bagai hala.
Semasa jerayawara tersebut Penolong Ketua Bahagian/Pegawai Penjaga Zat Makanan Kanan, Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Haji Zakaria bin Haji Kamis menyampaikan taklimat mengenai ‘Minuman Berperisa Mengandungi Gula dan Tahap Kesihatan Penduduk Negara Brunei Darusalam’, manakala Penolong Pengarah Jabatan Pengangkutan Darat, Kementerian Perhubungan, Awang Ali bin Haji Matussin menjelaskan tentang ‘Kesedaran Mengenai Keselamatan Jalan Raya dan Prosedur Pengimportan Tayar ke Negara Brunei Darussalam’.
Beberapa taklimat juga disampaikan daripada Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri serta Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan berkaitan penyelarasan dan perubahan kepada kadar-kadar cukai import dan eksais 2017.
Turut hadir semasa jerayawara ini, Pegawai Daerah Temburong, Awang Mohammad Amir Hairil bin Haji Mahmud; ketua-ketua cawangan jabatan-jabatan kerajaan, penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta para peniaga di Daerah Temburong.
Maklumat lanjut mengenai perubahan kadar-kadar cukai ini boleh diperolehi daripada laman sesawang Jabatan Kastam dan Eksais Diraja www.bdnsw.gov.bn atau www.tradingacrossborders.gov.bn atau menghubungi terus ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja melalui talian 2382361.