Kementerian laksana langkah untuk keselamatan pelajar

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah melaksanakan langkah-langkah untuk memastikan pelajar-pelajar di sekolah akan sentiasa dijaga secara teratur dengan para pelajar akan mula kembali ke sekolah berikutan pengurangan langkah-langkah penjarakan sosial.

Oleh itu, kedatangan para pelajar untuk menghadiri pembelajaran di sekolah adalah amat penting dan ibu bapa serta penjaga diharap akan memastikan mereka menghantar anak-anak ke sekolah, jelas Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman ketika menjawab persoalan mengenai kebimbangan sesetengah ibu bapa dan penjaga untuk menghantar anak mereka ke sekolah semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato menyatakan lagi bahawa adalah difahami terdapat sebilangan ibu bapa dan penjaga yang masih bimbang atau waswas dalam menghantar anak-anak mereka ke sekolah dan menjadi peranan kedua-dua kementerian iaitu Kementerian Pendidikan dan KHEU untuk meyakinkan ibu bapa dan penjaga akan langkah-langkah yang diambil untuk memastikan anak-anak mereka sentiasa terjaga.

Beliau menyatakan harapan supaya perkara itu akan dapat diambil maklum oleh para ibu bapa dan penjaga kerana jika mereka tidak menghantar anak mereka ke sekolah, bukan sahaja menjejaskan kedatangan mereka tetapi juga menjejaskan mereka dari segi pembelajaran dan kesihatan mental mereka.

Sementara itu, mengulas mengenai pengagihan penutup mulut dan hidung kepada para guru dan kakitangan sekolah oleh Kementerian Kesihatan, Yang Berhormat Dato berkata bahawa bagi Kementerian Pendidikan, guru-guru, pemimpin dan kakitangan di sekolah merupakan petugas barisan hadapan bagi kementerian berkenaan.

Ia merupakan salah satu inisiatif Kementerian Pendidikan untuk menyokong dan memberikan kerjasama kepada guru-guru, pemimpin sekolah dan kakitangan sekolah dengan mengagih-agihkan penutup mulut dan hidung jenis fabrik kepada mereka.

“Setakat ini, sebanyak 7,000 telah diedarkan dan terdapat 3,000 lagi dalam peringkat pembelian serta akan diberikan,” jelasnya lagi.

Ia diharap akan dapat bertahan dan digunakan dalam tempoh enam bulan di mana selepas itu, melihat kepada keadaan semasa serta jika ada keperluan lagi untuk pembelian selanjutnya.

Menjawab persoalan mengenai pelajar-pelajar Brunei yang kembali dari luar negara, Yang Berhormat Dato mengongsi bahawa Kementerian Pendidikan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang teratur di mana apabila para pelajar tiba di Brunei, mereka perlu menjalankan pengasingan diri bagi tempoh dua minggu serta kesihatan mereka dipantau, di pusat-pusat pengasingan yang telah disediakan.