Kementerian pendidikan akan beri sokongan padu

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MAC – Dengan keputusan Kementerian Pendidikan bagi pengajaran dan pembelajaran untuk dilaksanakan secara dalam talian, tatacara penyampaian pengajaran dan pembelajaran perlulah diubahsuai berdasarkan keadaan masa kini.

“Dalam masa yang sama, kita perlu mengambil maklum bahawa kapasiti sekolah-sekolah adalah berbeza-beza dan pendekatan yang akan dilaksanakan oleh sekolah-sekolah pasti berlainan tertakluk kepada pemimpin sekolah dan kapasiti guru masing-masing.”

Oleh itu, Kementerian Pendidikan akan meneruskan usaha-usaha dalam memberikan sokongan padu kepada sekolah-sekolah melalui Jabatan Sekolah-sekolah dan Bahagian Pendidikan Swasta bagi beberapa perkara.

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Sulaiman menyatakan perkara ini pada Sidang Media bagi Status Terkini COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau menjelaskan, perkara-perkara berkenaan termasuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian dari rumah dengan lancar termasuk menyediakan kaedah pengajaran dan pembelajaran alternatif mengikut kesesuaian dan kapasiti sekolah.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan semasa sidang media berkenaan.
Salah seorang pelanggan meninjau peralatan komputer di sebuah kedai. Komputer merupakan salah satu peralatan penting dalam pembelajaran online dan orang ramai sedikit sebanyak berusaha mendapatkannya bagi memudahkan proses pembelajaran anak-anak. – Gambar oleh Muiz Matdani

Di samping itu menangani isu-isu yang mungkin akan timbul dalam menjalankan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian serta meneruskan kerjasama bersama pihak berkenaan bagi menyokong pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian.

“Pihak-pihak berkenaan adalah Kementerian Pengangkutan dan Info-Komunikasi, Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan UNN,” jelasnya.

Selain memberikan pendidikan kepada anak-anak Brunei, tambahnya, Kementerian Pendidikan juga memberi keutamaan terhadap kesejahteraan pelajar, guru dan kakitangan bukan mengajar dalam keadaan masa kini.

“Ini menyumbang kepada keputusan Kementerian Pendidikan atas nasihat Kementerian Kesihatan untuk mengendalikan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian.”

Katanya lagi, Kementerian Pendidikan sentiasa bekerja rapat dengan Kementerian Kesihatan dalam memastikan kesejahteraan, kesihatan dan keselamatan warga sekolah dan warga kementerian adalah terjaga.

Selain kaedah pendekatan pembelajaran dan pengajaran yang bukan konvensional, tatacara bekerja juga akan turut berubah berdasarkan kepada situasi sekarang.

“Pemimpin-pemimpin sekolah boleh mempraktikkan Business Continuity Plan (BCP) masing-masing dengan melaksanakan bertugas dari rumah.

“Ini termasuklah bagi guru-guru dan kakitangan dalam kategori vulnerable dan sedang mengandung dan pihak sekolah juga boleh mengaplikasikan Flexible Working Arrangements bagi memastikan kesejahteraan warga sekolah adalah terjaga,” tambah beliau.

Sementara itu, menjawab persoalan mengenai platform e-Learning yang dibangkitkan semasa sesi soal jawab, Yang Berhormat Dato berkata, platform berkenaan telah digunakan oleh guru-guru di beberapa buah sekolah yang ingin mencubanya sebelum ini di samping itu, ia juga telah dilaksanakan pada cuti penggal baru-baru ini.

Katanya, platform e-Learning seperti Microsoft Teams telah dilaksanakan di beberapa buah sekolah dan Kementerian Pendidikan ada kerjasama dengan Microsoft dan platform berkenaan memang ada di sekolah-sekolah selain platform lain yang juga boleh dipakai.

Platform e-Learning berkenaan, jelas beliau, boleh digunakan pada semua peranti yang mempunyai akses internet dan tidak perlu dibuat secara serentak dan boleh dilaksanakan secara bergilir pada waktu yang berbeza.

Yang Berhormat Dato turut menyarankan sekolah-sekolah tuisyen untuk melaksanakan pengajaran atas talian, manakala Kementerian Pendidikan akan terus menolong mana-mana sekolah yang memerlukan pertolongan, tambah beliau.

Yang Berhormat Dato seterusnya menyatakan, bagi keluarga yang tidak mempunyai akses internet, pihak sekolah juga menyediakan pakej pembelajaran rumah di mana ibu bapa boleh mengadakan perundingan bersama guru kelas anak-anak mereka mengenai masa yang sesuai untuk mengambil pakej berkenaan secara hard copy.

Mengenai ibu bapa dan penjaga pelajar berkeperluan khas, Yang Berhormat Dato menyarankan mereka untuk menghubungi sekolah anak-anak mereka di mana ada diaturkan cara-cara memberikan pembelajaran dan pengajaran kerana mereka mempunyai cara tertentu.