Wednesday, December 4, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kementerian Pendidikan juara pertandingan badminton

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    TUTONG, 12 NOV – Kejohanan Badminton di antara Kementerian-kementerian Sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam ke-31 (HPA 31) Tahun 2024 telah melabuhkan tirainya kelmarin selepas berlangsung selama enam hari bermula 3 hingga 10 November bertempat di Dewan Sekolah Chung Hwa Kiudang.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan perlawanan akhir kejohanan ialah Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Salminan bin Haji Burut.

    Sebanyak 19 pasukan dari kementerian-kementerian menyertai kejohanan berpasukan ini yang mempertandingkan sebanyak lima kategori iaitu Beregu Lelaki (Bahagian 1 dan Terbuka); Beregu Lelaki A (Kategori B2 dan ke atas); Beregu Lelaki B (Kategori Bahagian III dan ke bawah); Beregu Wanita A (Kategori Bahagian III dan ke atas) dan Beregu Wanita B (Kategori Bahagian IV dan ke bawah).

    Pasukan Kementerian Pendidikan dinobatkan sebagai juara kejohanan berkenaan dengan merangkul hadiah berupa piala, pingat, sijil penyertaan dan wang tunai sebanyak $800.

    Juara juga membawa pulang piala pusingan yang disumbangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

    Manakala tempat kedua dimenangi oleh pasukan KHEDN A dengan menerima hadiah berupa pingat, sijil penyertaan, piala dan wang tunai sebanyak $600. Tempat ketiga pula dimenangi oleh pasukan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) A menerima hadiah berupa pingat, sijil penyertaan, piala dan wang tunai sebanyak $250.

    Turut hadir bagi menyaksikan kejohanan akhir itu ialah pegawai-pegawai kanan kerajaan, penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung Daerah Tutong.

    Kejohanan Badminton di antara Kementerian-kementerian Sempena Sambutan HPA 31 ini dianjurkan bersama oleh Jabatan Bandaran Tutong dan Jabatan Daerah Tutong dengan dikendalikan oleh Kelab Badminton Sekolah Chung Hwa Kiudang, Tutong.

    Acara sukan itu juga dihasratkan akan dapat mengeratkan dan mengukuhkan lagi hubungan silaturahim, kerjasama dan perpaduan warga perkhidmatan awam serta menggalakan warga perkhidmatan awam untuk sentiasa mengamalkan cara hidup sihat dan aktif melalui sukan badminton.

    Pasukan Kementerian Pendidikan bergambar ramai bersama pingat yang dimenangi semasa kejohanan berkenaan. – GAMBAR SERAHAN JABATAN DAERAH TUTONG
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda