Kementerian Pendidikan laksana kurikulum diubahsuai

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Kementerian Pendidikan telah melaksanakan beberapa pendekatan untuk menangani keperluan para pelajar mengikuti pelajaran yang terjejas disebabkan pandemik COVID-19, di mana salah satu pendekatan yang dilaksanakan adalah penggunaan modified curriculum (kurikulum yang diubahsuai) di mana jumlah isi kandungan disesuaikan bagi mata-mata pelajaran yang diajar di sekolah.

Pada masa ini juga, Kementerian Pendidikan juga mengatur program dengan sekolah-sekolah mengenai usaha untuk membolehkan para pelajar mengikuti atau mengejar pelajaran-pelajaran yang ketinggalan.

Langkah-langkah yang sedang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan itu, dijelaskan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato menyatakan lagi bahawa bagi mengatasi isu-isu pembelajaran yang terkesan oleh wabak COVID-19, salah satu pendekatan yang diambil adalah untuk memberikan guru-guru lebih banyak masa untuk mengajar dan mengurangkan penilaian yang tidak diperlukan seperti peperiksaan kelayakan yang selalunya diadakan untuk pelajar-pelajar Tahun 11 dan 12.

Melalui pendekatan itu, ia akan memberikan waktu tambahan atau lebih banyak masa bagi guru-guru membuat lebih pengajaran daripada mengendalikan ujian yang boleh mengambil banyak masa.

Beliau turut menyatakan lagi bahawa terdapat juga guru-guru yang mengambil inisiatif untuk mengadakan kelas tambahan dan guru yang menggunakan kaedah pengajaran atas talian sebagai tambahan kepada pengajaran mereka.

Untuk jangka masa sederhana ini juga, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan sedang meneliti bagaimana untuk menangani atau mengejar pelajaran bagi pelajar-pelajar Tahun 5, 7, 10 dan 12 yang akan menghadapi peperiksaan awam pada 2021.

Kementerian Pendidikan sedang mengatur strategi bagi para pelajar berkenaan untuk mengejar pelajaran yang ketinggalan disebabkan wabak COVID-19 dan juga untuk menyelaraskannya dengan langkah-langkah yang telah dilaksanakan.