Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Kementerian Pendidikan raikan 722 pesara

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Seramai 722 orang pegawai dan kakitangan yang pernah berkhidmat di Kementerian Pendidikan diraikan pada Majlis Meraikan Pegawai-pegawai dan Kakitangan Kementerian Pendidikan yang Bersara pada 2019 hingga 2021 di Royal Berkshire Hall, Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong, hari ini.

    Majlis anjuran Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Sekolah-sekolah dan Jabatan Pendidikan Khas itu dihadiri oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh selaku tetamu kehormat.

    Daripada jumlah yang diraikan, seramai 214 orang pegawai dan kakitangan adalah dari jabatan-jabatan manakala 508 orang tenaga pengajar dan kakitangan adalah yang bertugas di institusi rendah, menengah, maktab, pusat tingkatan enam dan teknikal serta pengajian tinggi di bawah Kementerian Pendidikan.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri, Pengiran Mohamad Sallehin bin Pengiran Tejuddin.

    Kemudian, majlis diteruskan dengan ucapan penghargaan oleh Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad yang antara lain merakamkan ingatan tulus ikhlas serta penghargaan dan jutaan terima kasih atas khidmat bakti, jerih payah dan kesungguhan para pegawai dan kakitangan selama berkhidmat di Kementerian Pendidikan.

    Yang Berhormat Menteri Pendidikan menyampaikan cenderahati kepada salah se-orang pesara.

    Beliau berkata, walau apa jua pun rupa bentuk perkhidmatan yang telah diberikan, sama ada tugas pejabat, khidmat dokongan mahupun mendidik pelajar di sekolah, secara individu atau berpasukan, sudah setentunya matlamat para pegawai dan kakitangan adalah untuk sama-sama mencapai kecemerlangan dan kemajuan pendidikan duniawi dan ukhrawi.

    Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan bahawa persaraan hanyalah berbentuk peralihan masa untuk merehatkan minda dan fizikal dalam menghadapi sesuatu situasi tetapi pada hakikatnya, para pegawai dan kakitangan masih bergiat aktif menceburi kesinambungan bidang yang digemari tanpa disedari.

    Bukan itu sahaja, persaraan memberikan peluang untuk mencapai impian yang dulunya tidak terlaksana dan mencapai impian yang telah terpendam selama ini agar terus ceria dengan berbagai-bagai aktiviti yang boleh dilakukan bagi meningkatkan kecerdasan minda, menjana ekonomi yang kukuh dan kehidupan sosial yang membangun jati diri.

    Majlis diteruskan dengan ucapan daripada wakil-wakil pesara iaitu Mantan Pemangku Ketua Pengarah Pendidikan, Dayang Marina Chek binti Bujang dan Mantan Ketua Unit Pendidikan Khas, Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor.

    Acara kemuncak majlis adalah penyampaian sijil dan cenderamata kenang-kenangan kepada pegawai-pegawai dan kakitangan yang bersara oleh tetamu kehormat majlis.

    Turut hadir di majlis tersebut ialah naib canselor dan rektor, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai dan kakitangan dari Kementerian Pendidikan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...