BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah mengadakan Majlis Takbir Raya Aidilfitri bagi menyambut kedatangan bulan Syawal 1442H di Surau Ad-Difa’, Bolkiah Garison malam tadi.
Hadir pada majlis itu ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat, setiausaha tetap Kementerian Pertahanan, pegawai-pegawai tentera dan awam serta kakitangan Kementerian Pertahanan dan ABDB.
Menurut kenyataan yang diterima, majlis bermula dengan sembahyang Fardu Isyak berjemaah dipimpin oleh Imam Surau Ad-Difa’, Awang Suhif @ Syu’aib bin Haji Abdullah.
Majlis kemudian diteruskan dengan tazkirah diikuti dengan laungan takbir dan bacaan doa.
Majlis yang serupa turut diadakan secara serentak di seluruh surau garison, perkhemahan dan pangkalan ABDB.
