Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 APRIL – Seramai 74 orang anak yatim iaitu 35 lelaki dan 39 perempuan daripada keluarga dan kakitangan Kementerian Pertahanan menerima derma manakala, 18 orang pegawai dan kakitangan menerima bantuan ihsan pada majlis yang berlangsung di Surau Ad-Difa’, Bolkiah Garison, hari ini.
Hadir untuk menyempurnakan penyampaian derma dan bantuan berkenaan ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Majlis dimulakan dengan bacaan zikir dan diikuti dengan bacaan Surah Yasin dan tahlil secara beramai-ramai serta diakhiri dengan penyampaian derma.
Majlis tahunan itu dihasratkan untuk meringankan beban perbelanjaan para penerima dalam persediaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.