Kementerian Tenaga hulur sumbangan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MEI – Kementerian Tenaga mengadakan Majlis Penyampaian Sumbangan Derma bagi Anak-anak Yatim bersempena dengan bulan Ramadan 2020 yang berlangsung di Dewan Persidangan, Bangunan Jabatan Perdana Menteri, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga, di sini, hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sumbangan derma kepada anak-anak yatim ialah Menteri Tenaga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Tenaga), Haji Azhar bin Haji Yahya, Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga dan Kuasa Elektrik), Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra, Pemangku Pengarah Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Awang Abdul Aziz bun Abdullah serta pegawai dan kakitangan Kementerian Tenaga.

Majlis tersebut dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh pegawai dari Kementerian Tenaga, Awang Muhammad Nazirul Rawi bin Awang Zaimin.

Majlis diteruskan dengan penyampaian derma yang disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny kepada wakil daripada 21 orang anak yatim di bawah Kementerian Tenaga termasuk Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE).

Sumbangan berkenaan adalah hasil daripada kutipan derma kakitangan Kementerian Tenaga termasuk JPE, Pihak Berkuasa Kebangsaan bagi Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) dan Pihak Berkuasa Petroleum Negara Brunei Darussalam (BP) untuk mengurangkan beban keluarga kakitangan kementerian yang telah meninggal dunia.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny menyampaikan sumbangan kepada salah seorang wakil anak-anak yatim
di bawah Kementerian Tenaga. – Gambar serahan Kementerian Tenaga