Thursday, April 25, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Kemeriahan TBC tetap dirasa dalam norma baharu

    Oleh Nurdiyanah R.

    Ketika kita mula menyaksikan pelbagai perhiasan dan dekorasi berwarna merah bersalut keemasan dipasang di mana-mana, pastinya sudah dapat diketahui umum bahawa itu menandakan sebagai kedatangan Sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) di seluruh dunia, dengan tahun ini adalah Tahun Harimau.

    Tidak terkecuali di tanah air kita, selaku negara berbilang bangsa, yang mana sesetengah penduduk di negara ini juga adalah daripada bangsa dan keturunan Cina, merayakan TBC bersesuaian dengan norma baharu di kala masih berwaspada daripada penularan wabak COVID-19.

    Dekorasi penyeri perayaan

    Tanglung merah macam-macam variasi bentuk dan saiz dapat dilihat di mana-mana digantung menjadi penyeri bukan hanya di kediaman mereka bahkan meliputi gedung-gedung perniagaan, pejabat-pejabat dan sebagainya.

    Begitu juga pelbagai jenis bunga dan pokok limau hiasan yang berwarna terang biasanya menjadi hiasan tradisi yang sering mewarnai detik-detik kemeriahan Sambutan TBC. Lebih menyeronokkan lagi apabila masyarakat yang bukan hanya daripada bangsa Cina juga dilihat begitu teruja menikmati buah-buah limau mandarin yang lazimnya banyak dijual di mana-mana sebagai simbolik kedatangan perayaan tersebut.

    Di sebalik simbol harimau

    Dalam kitaran kalendar qamari masyarakat Cina, terdapat 12 haiwan-haiwan telah dipilih sebagai simbol yang terdiri daripada tikus, lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam, anjing dan khinzir. Setiap haiwan membawa pengertiannya yang tersendiri.

    Tarian singa yang juga jadi simbolik setiap sambutan Tahun Baharu Cina. – Xinhua
    Yee Sang antara salah satu hidangan yang sering menjadi pilihan semasa TBC. – Agensi
    Tanglung merah dalam variasi bentuk dan saiz, pelbagai jenis bunga dan pokok limau hiasan yang berwarna terang biasanya menjadi hiasan tradisi yang sering mewarnai detik-detik kemeriahan Sambutan TBC. – Bernama

    Melabuhkan tirai tahun 2021 dengan haiwan lembu dalam zodiak Cina, sam-butan pada tahun ini menandakan bermulanya zodiak haiwan harimau. Secara lazimnya, kepercayaan masyarakat Cina, harimau mempunyai gambaran keberanian, kompetitif, berkeyakinan dan sifat tidak boleh dijangka.

    Semestinya mereka yang meraikan acara perayaan tersebut begitu mengharapkan untuk dikurniakan tuah yang lebih baik dari tahun sebelumnya dari segala aspek kehidupan termasuk kesihatan dan pendapatan.

    Bagi masyarakat Cina sendiri, hari pertama tahun baharu itu melambangkan titik permulaan nasib yang baharu dalam kehidupan mereka yang diraikan dengan penuh adat resam mengikut kepercayaan dan pantang larang yang diamalkan oleh nenek moyang sejak turun-temurun lagi. Salah satunya, keadaan rumah tidak kira bahagian dalaman atau sekeliling rumah harus berada dalam keadaan bersih sebelum tibanya sambutan tahun baharu berkenaan.

    Perkara ini adalah penting berikutan daripada terdapatnya larangan untuk menyapu bahkan kelengkapan untuk membersihkan kawasan rumah seperti penyapu, berus dan lain-lain hanya di simpan di dalam tempat yang tersembunyi dan dilarang daripada penggunaannya berikutan daripada kepercayaan yang menyatakan bahawa menyapu pada hari tersebut secara tidak langsung turut menolak segala tuah untuk masuk ke dalam rumah.

    Merah warna bertuah

    Merah melambangkan api yang mana menurut legenda masyarakat Cina ia boleh menghindari nasib malang dan dikaitkan dengan nasib yang baik dan kebahagiaan. Oleh itu, tidak hairanlah, warna utama yang sering ditampilkan dalam kebanyakan dekorasi secara tradisinya adalah merah dan emas dalam masyarakat Tiong Hua.

    Sementara pakaian berwarna merah pula menjadi pilihan utama sewaktu sambutan tersebut memandangkan warna yang terang itu dianggap sebagai warna ceria dan diyakini dapat memberikan penampilan gah para pemakai sekaligus memberikan masa depan yang cerah kepada mereka di sepanjang tahun.

    Berkumpul bersama insan-insan tersayang, saling bersapa dengan ungkapan Gong Xi Fa Cai pula digunakan sebagai satu ucapan sempena kehadiran TBC yang memberi makna kemakmuran dan kegembiraan yang berpanjangan. Selain itu, anak-anak kecil juga setentunya berasa teruja apabila menerima sampul merah berisi wang yang dikenali sebagai angpau.

    Pada hakikatnya, merah bukan sahaja dianggap sebagai warna bertuah bagi kaum Cina bahkan mengikut kepercayaan mereka ia juga berupaya untuk menakutkan sejenis raksasa yang dikenali sebagai Nian. Berdasarkan tradisi, mereka mempercayai bahawa raksasa tersebut sering mengganas dengan merosakkan segala tanaman sekali gus penghalang sumber kekayaan dan itu yang cuba dielakkan sempena dengan kehadiran tahun baharu.

    Kemeriahan ‘makan besar’

    Jika Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha yang diraikan oleh masyarakat Islam begitu popular dengan ketupat dan rendang, bagaimana pula dengan perayaan TBC? Ini kerana makan besar bersama ahli keluarga merupakan salah satu perkara yang begitu menarik dilakukan ketika menyambut perayaan berkenaan.

    Setiap hidangan istimewa tersebut disusun di atas pinggan dalam jumlah yang tidak sekata serta diletakkan di atas meja yang dihias cantik dengan lapik meja berwarna merah. Antara hidangan yang sering menjadi pilihan ialah Yee Sang, ikan kukus, kuih bakul, dumpling, popia dan mi yang masing-masing mempunyai simboliknya yang tersendiri.

    Pastikan sentiasa berwaspada

    Apa yang terpenting ialah perlaksanaan sambutan perayaan mestilah mengikuti garis panduan Jawatankuasa Pandu COVID-19, di mana jika sambutan TBC diadakan di dewan maka had kapasiti adalah pada kadar 75 peratus daripada jumlah kapasiti penuh dewan pada satu masa ataupun maksimum 300 orang (yang mana lebih rendah) iaitu mengikut had yang ditetapkan semasa Fasa Awal Endemik dengan tempoh tidak melebihi dua jam.

    Manakala sekiranya acara diadakan di rumah persendirian, ahli keluarga terdekat sahaja dapat meraikan acara berkenaan di rumah persendirian, di mana perhimpunan hendaklah dihadkan kepada tidak melebihi daripada 30 orang tetamu dalam satu masa. Sementara persembahan tarian singa adalah dibenarkan bagi ahli rumah berkenaan sahaja secara peribadi iaitu dengan tidak mengundang ahli keluarga yang lain atau rakan-rakan yang bukan tinggal serumah.

    Dalam pada itu, langkah-langkah kawalan COVID-19 perlu dipatuhi semasa acara tersebut diadakan seperti semua dewan atau rumah mesti mendaftar untuk mendapatkan kod QR BruHealth; hanya individu yang telah diberikan vaksin penuh dibenarkan hadir dan dikehendaki menjalani ujian ART di rumah kediaman masing-masing sebelum memasuki atau menghadiri acara tersebut; penggunaan aplikasi BruHealth dimestikan.

    Selain itu, hidangan makanan dan minuman dibenarkan tetapi dalam bentuk makanan pek atau dihidang secara dome; pemakaian pelitup muka dimestikan kecuali semasa makan dan minum dan penjarakan fizikal adalah dimestikan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Presiden Iran rasmi projek hidrokuasa dan pengairan Sri Lanka

    COLOMBO, 24 APRIL — Presiden Iran, Ebrahim Raisi tiba di Sri Lanka hari ini untuk merasmikan projek hidrokuasa dan pengairan yang telah lama tertangguh...