GHAZNI, Afghanistan – Usaha menyelamat yang telah dilakukan pada musim panas telah menyelamatkan puluhan remaja Afghan yang telah ditakdirkan untuk dilatih sebagai pejuang Taliban sekali gus menunjukkan bagaimana kemiskinan menjadi punca kepada meningkatnya jumlah tentera kanak-kanak yang mana tanpa henti melengkapi barisan pemberontak.
Angkatan bersenjata Afghan telah membebaskan hampir 40 kanak-kanak semasa pelbagai serbuan yang telah dilakukan berdekatan dengan sempadan Pakistan. Pihak berkuasa mengatakan bahawa pedagang haram yang bekerjasama dengan Taliban telah merekrut kanak-kanak yang mana sebahagian daripadanya berusia empat tahun – terdiri daripada keluarga miskin dengan menjanjikan mereka untuk memberikan anak-anak mereka pembelajaran agama.
Pada hakikatnya, mereka telah ditetapkan untuk diindoktrinasi oleh pengikut setia Mullah di Pakistan dan menerima latihan ketenteraan untuk melakukan serangan terhadap Afghanistan, sebuah negara yang telah hancur akibat peperangan, kata pihak berkuasa.
“Ibu-bapa kami selalu menginginkan kami untuk mempelajari perihal Islam tetapi kami tidak mengetahui bahawa kami akan ditipu dan pemikiran kami diubah untuk menjadi pengebom berani mati,” beritahu Shafiullah yang berusia sembilan tahun kepada AFP setelah diselamatkan oleh polis.
Penggunaan tentera kanak-kanak oleh semua pihak dalam pertempuran Afghan adalah suatu perkara biasa dan ia juga termasuk dalam pasukan keselamatan pro-kerajaan, di mana amalan ‘bacha bazi’ atau perhambaan kanak-kanak telah dikatakan dijadikan perlembagaan.

Namun, insiden musim panas di wilayah tenggara Ghazni memperlihatkan amalan kerajaan Afghanistan dan kumpulan hak asasi telah lama menuduh Taliban: menculik kanak-kanak untuk indoktrinasi sebagai pejuang di madrasah Pakistan dan Afghanistan.
Dalam ucapan baru-baru ini yang menyatakan mengenai strategi AS terhadap Afghanistan, Presiden Donald Trump berikrar, antara yang lainnya adalah untuk menghapuskan pengganas. Tetapi, pakar mengatakan bahawa kemiskinan adalah faktor yang terpenting kerana dengan ibu bapa mereka tidak mampu untuk menampung anak mereka, memberikan ibu-bapa tersebut pilihan, selalunya tanpa disedari, untuk menyerahkan anak mereka ke tangan penganiaya dan pelampau.
Baru-baru ini AFP bercakap dengan beberapa orang kanak-kanak yang diselamatkan dan tinggal di rumah anak yatim di wilayah tenggara Ghazni, tempat mereka menginap pada masa pihak berkuasa cuba untuk menjejak ibu bapa mereka.
“Mereka bercakap kepada ayah saya dan dia tidak membantah,” kata Nabiullah yang berusia sembilan tahun sambil menangis mengingati kejadian dia diculik dari rumahnya oleh perekrut.
Anak lain yang berusia lapan tahun mengatakan bahawa dua orang Taliban telah datang kepadanya dan hendak membawa mereka ke madrasah yang terletak di Quetta. “Saya tidak mengetahui lebih lanjut mengenainya sehingga lelaki tersebut telah ditangkap,” katanya.
Pihak berkuasa mengatakan bahawa mereka telah menyelamatkan kanak-kanak yang berusia di antara empat hingga 14 tahun daripada apa yang telah disifatkan oleh Mohammad Aref Wahidi, timbalan gabenor Ghazni sebagai ‘geng penculikan’, yang telah membawa mereka ke Pakistan.
Kanak-kanak itu “diberikan dadah yang membuatkan mereka pening dan bingung oleh orang yang melarikan mereka”, kata ketua polis wilayah, Mohammad Mustafa kepada AFP, tambahnya lagi antara mereka yang dibebaskan itu adalah 13 anak lelaki yang dikatakan terlatih sebagai pengebom berani mati.
Mereka kemudiannya ditayangkan di hadapan media, dengan kebanyakan daripada mereka menangis ketika mereka berdiri di samping pedagang haram. Penduduk tua Afghan menafikan mereka sengaja menghantar pemuda-pemuda mereka untuk menyertai pemberontakan Taliban yang hampir 16 tahun ini.
“Saya mengaku bahawa kanak-kanak dihantar untuk mempelajari perihal agama dalam madrasah Pakistan, tetapi saya tidak terfikir bahawa mereka akan dilatih untuk menjadi pengebom berani mati,” beritahu Haji Mohammad Sharif iaitu seorang warga tua yang berasal daripada wilayah Paktika yang bersempadan dengan Ghazni, kepada AFP.

Pihak pemberontak juga menafikan dakwaan itu. Namun, pihak berkuasa Afghan melaporkan secara rutin bahawa mereka telah menyekat tentera kanak-kanak dan Pemerhati Hak Asasi Manusia mengeluarkan laporan menyeluruh mengenai isu-isu tersebut pada tahun lepas dengan menyatakan bahawa indoktrinasi bermula seawal kanak-kanak tersebut berusia enam tahun.
“Menurut saudara budak lelaki yang telah direkrut oleh Taliban, ketika mereka berumur 13 tahun, Taliban telah memberikan pembelajaran mengenai kemahiran ketenteraan termasuk penggunaan senjata api dan juga penggunaan dan pengeluaran IED kepada kanak-kanak tersebut,” seperti yang dinyatakan dalam laporan itu.
Untuk Ahmad Shaheer, seorang pakar mengenai madrasah Pakistan di Universiti Al-Azhar di Kaherah mengatakan bahawa kemiskinan adalah puncanya.
“Kebanyakan keluarga yang miskin menyerahkan anak mereka kepada orang yang tidak dikenali untuk diajar di madrasah Pakistan kerana mereka tidak mampu untuk membayar pendidikan anak mereka,” beritahunya kepada AFP.
Laporan HRW menyatakan bahawa trend mendorong kepada kemiskinan ini juga semakin meningkat di madrasah di Afghanistan khususnya dalam wilayah Kunduz dan ia juga menyatakan bahawa Taliban tidak akan mengembalikan kanak-kanak itu apabila ibu bapa mereka mengetahui apa yang sedang berlaku.
Dalam bulan Jun lalu, pihak berkuasa Kunduz mengatakan bahawa mereka telah menahan seorang budak lelaki berusia 11 tahun yang berniat untuk menyerang polis setelah diberikan pembelajaran di madrasah tempatan yang mengatakan bahawa tentera kerajaan adalah sasaran yang munasabah kerana mereka sama ada ‘tidak beragama atau berkhidmat kepada mereka yang tidak beragama’.
Namun kemiskinan secara keseluruhannya semakin meningkat di negara itu, menurut laporan yang dikeluarkan oleh Bank Dunia dan kerajaan Afghanistan dalam bulan Mei lalu yang menyatakan bahawa 39 peratus penduduk Afghan tidak dapat memenuhi keperluan asas mereka. Oleh itu, cadangan terhadap trend yang telah dikemukakan oleh Shaheer dan HRW boleh disambung.
Shaheer menganggarkan kira-kira 10,000 ke 20,000 anak Afghan telah melalui sekolah agama Pakistan. Setelah mereka berpisah daripada keluarga mereka, indoktrinasi pun bermula.
“Kehidupan adalah suatu yang sukar bagi mereka di sana. Mereka tidak diberikan apa-apa untuk dimakan dan madrasah itu menjadi seperti sebuah penjara,” kata Shaheer.
“Sedikit demi sedikit, mereka mula untuk membenci keluarga mereka… api kebencian telah membara dan mereka merasakan mereka tidak mempunyai masa depan dalam hidup.” – AFP