Kempen antiperkauman Itali diselar

MILAN, 20 DIS – Pemain tengah Verona, Liam Henderson menyatakan tindakan pihak Serie A dalam kempen antiperkauman dengan memaparkan gambar monyet merupakan satu perkara yang tidak masuk akal dan tidak sesuai selepas seorang penyerang Brescia Mario Balotelli mengalami isu perkauman di awal musim ini.

Bekas pemain tengah Celtic dan Hibernian tersebut yang menyertai Verona tahun lalu, hadir ketika penyerang kebangsaan Itali, Balotelli menjadi bahan nyanyian monyet yang dinyanyikan oleh penyokong Verona semasa perlawanan Liga Itali pada November yang lalu.

“Itu merupakan pengalaman kali pertama saya,” katanya kepada AFP tentang insiden perkauman Balotelli.

“Saya hanya melihatnya di kaca televisyen, semasa perlawanan Inter Milan (Lukaku), dan Raheem Sterling di Stamford Bridge.”

“Saya ketika itu berada di bangku simpanan, dan saya tidak mendengar apa-apa, tapi jelas dari reaksinya (Balotelli) dia mendengar sesuatu. Dia tidak akan melakukan reaksi sedemikian tanpa sebab.”

Gambar tiga lukisan monyet sebahagian kempen terhadap antiperkauman di Itali pada 16 Disember. – AP

Perlawanan yang dimenangi oleh Verona 2-1 tersebut tergantung selama beberapa minit ketika pemain kebangsaan Itali tersebut (Balotelli) 36 kali cuba untuk keluar padang.

Pengumuman dikeluarkan semasa perlawanan tersebut jika ada mana-mana pihak melakukannya lagi pihak berkuasa akan menghentikan perlawanan tersebut serta merta.

Henderson merasa hairan dengan pelancaran kempen antiperkauman yang dilakukan oleh pihak Liga Itali baru-baru ini dengan memaparkan gambar monyet.

“Saya fikir, ia merupakan satu perkara yang bodoh dan tidak sesuai,”

Artis Itali, Simone Fugazzotto mengatakan bahawa sebernarnya, idea tersebut untuk menggambarkan orang berkulit putih, hitam dan Asia. Gambar monyet tersebut sebenarnya bertujuan untuk menjadi ‘alat pertahanan’ terhadap istilah penghinaan yang sering dilemparkan kepada pemain bola sepak berkulit hitam oleh beberapa orang peminat Itali.

Henderson mengatakan ia adalah salah untuk ‘menuding jari’ hanya untuk peminat di Itali. “Saya rasa ia tidak patut ditujukan untuk di Itali sahaja, namun ia patut ditujukan di mana-mana sahaja,” katanya.

Awal bulan ini, berita sukan harian Itali Corriere dello Sport menggunakan tajuk ‘Black Friday’ bersama-sama gambar Lukaku dan Chris Smalling untuk pratonton perlawanan antara Inter Milan dan AS Roma. – AFP