Kempen bendung penularan wabak di tamu diteruskan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 APRIL – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) melalui jabatan-jabatan bandaran dan jabatan-jabatan daerah meneruskan lagi Kempen Pembersihan Pasar, Gerai dan Tamu di Seluruh Negara yang bermula pada 15 April lalu bagi membendung penularan COVID-19 di negara ini.

Kempen pembersihan nyahkuman di Kompleks Tamu Kianggeh, Bandar Seri Begawan dilakukan hari ini dengan penyertaan daripada pelbagai pihak termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), para sukarelawan dan penjaja.

Ketua Pengurusan Kompleks Tamu Kianggeh, Awang Marshidi bin Haji Omar dalam temu bual ringkas bersama Media Permata menyatakan bahawa kerja-kerja pembersihan nyahkuman yang dilaksanakan itu adalah sebagai langkah tambahan KHEDN bagi meningkatkan keselamatan dan kesihatan orang ramai serta peniaga-peniaga di semua pasar dan tamu di negara ini.

“Untuk makluman pembersihan pasar, tamu dan gerai di bawah kawalan Jabatan Bandaran Seri Begawan ini dilaksanakan secara berjadual dari semasa ke semasa seperti hari ini di tamu ini,” jelasnya.

Beliau juga memohon kerjasama padu daripada para peniaga di kompleks tamu dan menghargai usaha mereka untuk menghindarkan penularan wabak COVID-19.

Mereka juga dinasihatkan mengikut arahan dalam memastikan pembersihan dapat dilaksanakan sebaiknya.

Kempen tersebut merupakan satu inisiatif KHEDN dalam memastikan persekitaran yang bersih dan selamat, manakala Kementerian Kesihatan menyeru supaya penjagaan kebersihan sepanjang masa juga menjadi sandaran untuk kempen ini dilaksanakan.

Kempen pembersihan di Kompleks Tamu Kianggeh, Bandar Seri Begawan, kelmarin
Antara yang turut serta dalam kempen kebersihan tersebut.