Kempen berakhir, S’pura dalam tempoh bertenang

SINGAPURA, 9 JULAI – Singapura memasuki tempoh bertenang hari ini sebelum pengundian untuk Pilihan Raya Umum republik itu dijalankan esok dan kempen dalam talian adalah satu daripada aktiviti kempen yang dilarang semasa tempoh itu, menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD) Singapura.

Kempen dalam talian termasuk penstriman langsung, memuat naik rakaman penstriman itu atau memuat naik/menyiarkan iklan pilihan raya dalam mana-mana laman web dan platform Internet, menurut kenyataan itu.

“Tempoh bertenang bagi kempen dan iklan pilihan raya selama 24 jam ini adalah untuk membolehkan pengundi berfikir secara rasional terhadap pelbagai isu yang dibangkitkan semasa waktu berkempen, sebelum mengundi. Sekatan yang sama turut terpakai pada hari pengundian,” tambahnya.

Aktiviti seperti merayu undi, menyebarkan risalah sama ada melalui kaedah fizikal atau elektronik, atau mengunjungi rumah dan tempat kerja pengundi yang berkaitan dengan pilihan raya juga dilarang.

Selain itu, larangan turut termasuk melakukan pengiklanan programatik seperti menggunakan teknologi untuk menyampaikan iklan digital secara automatik dan dalam platform media sosial, menurut jabatan itu.

Iklan pilihan raya juga dilarang pada kedua-dua hari itu dengan beberapa pengecualian terhadap larangan ‘dengan sengaja menerbitkan atau memaparkan iklan pilihan raya’. – Bernama