Kempen Bersih gerai bendung penularan

Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Sebagai usaha untuk mengawal dan sebagai langkah membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri menerusi Jabatan Daerah Brunei dan Muara telah meneruskan lagi kempen kebersihan di Gerai Kampung Jangsak, hari ini.

Demi menjaga kesejahteraan dan keselamatan orang awam, gerai berkenaan telah diarahkan untuk menutup operasinya bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan dilakukan.

Pengawas Tingkat 1, Unit Gerai Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Dayang Nency Sabrina binti Haji Mohd Nor semasa ditemui mengongsikan bahawa aktiviti pembersihan berkenaan merupakan sahutan seruan daripada Kementerian Kesihatan untuk memastikan kebersihan sentiasa terpelihara dan terjaga.

Lebih 13 orang kakitangan dari Unit Pasar Gerai, Jabatan Daerah Brunei dan Muara menyertai kempen kebersihan yang dijalankan berkenaan.

Kempen kebersihan seterusnya akan dijalankan pada 16 Oktober depan di Gerai Muafakat Kampung Selayun dan seterusnya Gerai Kampung Sengkurong pada 20 Oktober depan.

Orang ramai, khususnya pengunjung dan peniaga yang berada di gerai berkenaan dipohonkan supaya akan dapat sama-sama mempertingkatkan kebersihan di tempat berniaga, sentiasa memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal pada setiap masa.

Kakitangan Unit Pasar Gerai, Jabatan Daerah Brunei dan Muara bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar Gerai Kampung Jangsak
Para peniaga diarah menutup operasi mereka bagi memudahkan kempen kebersihan dijalankan.