Kempen bersih pantai kutip 610kg sampah

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 23 OGOS – Susulan kejayaan kempen yang diadakan awal bulan lalu di sekitar pantai Taman Rekreasi Jubli Perak, Kuala Belait, Rosnah Yusof and Sons (RYS) Entertainment telah meneruskan kempen kebersihan Starts From You 2.0 di Seria, hari ini.

Lebih 160 orang dari kawasan sekitar dan pantai Monumen Bilion Tong, Seria telah menyertai kempen berkenaan yang diadakan dengan sokongan Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Institut Pendidikan Teknikal Brunei, Politeknik Brunei, Lumut dan Green Brunei.

Hadir untuk memberikan sokongan dan menyertai kempen kebersihan itu ialah Ketua Kampung STKRJ Lorong Tiga Selatan Seria, Haji Saidin bin Haji Ibrahim bersama Ketua Kampung Bukit Sawat, Awang Mohammad bin Abdullah serta beberapa orang ahli majlis perundingan kampung berdekatan.

Kempen telah didahului dengan sesi memanaskan badan diikuti dengan taklimat keselamatan yang disampaikan oleh kakitangan RYS Entertainment bagi memastikan keselamatan para peserta.

Sepanjang kempen sejauh lebih 1km di kawasan pantai Monumen Bilion Tong, para peserta telah berjaya mengumpulkan lebih 610kg sampah.

Dengan kejayaan kempen itu, RYS Entertainment berhasrat untuk meneruskannya dalam beberapa bulan akan datang sebagai sebahagian daripada komitmen mereka untuk memastikan kebersihan pantai.

Kempen seterusnya dijadualkan pada 27 September depan di SMR, di penghujung Jalan Maulana, Kuala Belait manakala itu, pada 25 Oktober di Pantai Jerudong dan 22 November di Pantai Muara.

Antara yang terlibat dalam kempen yang dianjurkan oleh RYS Entertainment itu. – Gambar oleh Daniel Lim & RYS Entertainment