Kempen bersihkan Gerai Wawasan

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 13 APRIL – Jabatan Daerah Belait bersama Majlis Perundingan Mukim (MPM) Liang hari ini telah mengadakan Kempen Kebersihan di Gerai Wawasan Mukim Liang bagi memastikan penjaja di kawasan tersebut turut sama menjaga kebersihan petak jualan masing-masing dan sekitar kawasan gerai.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Daerah Belait, kempen turut disertai oleh Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Hadir mengetuai kempen ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Penghulu Mukim Liang, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin. Turut hadir ialah Penolong Pegawai Daerah Belait, Awang Mohammad Yassin bin Haji Ahmed, ketua-ketua kampung di Mukim Liang, ahli-ahli MPM Liang serta pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan yang terlibat.

Kempen kebersihan bertujuan untuk memastikan gerai tersebut berkeadaan bersih dan selamat digunakan oleh para penjaja dan pengunjung sebagai salah satu langkah pencegahan penularan penyakit-penyakit berjangkit terutama Wabak Covid-19 yang sedang melanda negara pada masa ini.

Dengan adanya kempen kebersihan berkenaan, Jabatan Daerah Belait berharap memberi kesedaran kepada masyarakat setempat terutama sekali penjaja-penjaja dan
pengunjung akan pentingnya bagi sama-sama menjaga kebersihan dan seterusnya akan dapat membudayakan amalan menjaga kebersihan.

Ia merupakan salah satu inisiatif Jabatan Daerah Belait dan MPM Liang untuk menjadikan kawasan gerai tersebut lebih bersih, indah, ceria dan bebas dari tempat-tempat pembiakan nyamuk serta bebas daripada sebarang jangkitan penyakit.

Para peserta melakukan kerja-kerja pembersihan di sekitar kawasan Gerai Wawasan semasa kempen berkenaan, kelmarin.
Kempen pembersihan dijalankan oleh Jabatan Daerah Belait dan MPM Liang serta turut melibatkan JKR.